Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam mempersoal Bajet 2012 yang tidak menyediakan peruntukan khas untuk menangani masalah sosial dalam masyarakat. NGO terbabit antaranya Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudahatus Sakinah, Pertubuhan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia) dan Rumah Puteri Arafiah merupakan NGO Islam yang aktif dalam kerja-kerja mencegah dan merawat golongan yang terjebak dalam masalah sosial seperti hamil luar nikah, penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga. Menyifatkan kerajaan sebagai tidak serius untuk menangani masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat, Pengerusi Lembaga Pengarah Induk (LPI) Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Dr Harlina Halizah Siraj berkata, pihaknya amat memerlukan sokongan untuk menangani masalah ini. Bercakap pada sidang media di Pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM), dekat sini hari ini beliau berkata usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang beramanah, berintegriti dan bertangungjawab dibimbangi akan lebih mendatangkan keburukan kepada negara. "Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk menangani masalah sosial melalui langkah pencegahan dan rawatan yang berkesan agar dapat dikawal. "Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini," katanya yang juga Ketua Wanita JIM. Namun tegas beliau, apa yang dituntut bukanlah bantuan kewangan semata-mata sebaliknya kerjasama erat di antara kerajaan dengan NGO tanpa banyak karenah birokrasi. Justeru, mereka menuntut kerajaan meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas serta menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) kepada kelompok yang terjebak dengan gejala sosial. "Kami memohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Jangan biar kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan bajet 2013. Itu pun belum tentu suara kami diambil kira," katanya sinis. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet 2012 Jumaat lalu tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk NGO Islam sebaliknya mengumumkan peruntukan untuk "Anjung Singgah" iaitu pusat khidmat bantuan sosial untuk memberi perlindungan sementara kepada golongan gelandangan. Kini terdapat 1,400 gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM). Kerajaan tolong buka mata Sementara itu, Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat menegaskan kerajaan harus membuang sifat ego mereka sebaliknya mengaku mereka tidak mampu melakukan semua perkara dan menyerahkan sebahagiannya kepada NGO yang berpengalaman. Beliau berkata, bagi Perkid sendiri, amat sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan khususnya JKM dalam usaha memberikan bantuan kepada remaja bermasalah. "Kerajaan selalu syok sendiri, buat program mengikut citarasa mereka tanpa meminta pandangan kami yang sudah lama terlibat dengan kerja-kerja pencegahan ini. Tapi apa kesannya? Masalah sosial makin berlambak. "Mereka tak bagi bajet kat kita, tapi berapa kali kami dapat arahan supaya tutup pusat perlindungan. Sudahlah kami kutip bayi terbiar, kami pun terbiar sama," katanya yang menguruskan empat rumah perlindungan remaja bermasalah antaranya di Hulu Langat, Selangor. Turut bersama pada sidang media tersebut ialah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia, Kem Modal Insan KEWAJA, Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah, Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA), Rumah Kebajikan Darul Islah, Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq dan Keluarga Besar Norlina Alawi. |
Rabu, 12 Oktober 2011
Bajet 2012 tiada peruntukan tangani gejala sosial
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan