Ketika beberapa ahli politik dan persatuan nelayan mendakwa ia bajet bohong, orang ramai melihat ia bajet yang boleh dilaksanakan.
PETALING JAYA: Rakyat memberi pelbagai pendapat dan reaksi terhadap bajet Pakatan Rakyat yang dibentangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Ketika beberapa ahli politik dan persatuan nelayan mendakwa ia bajet bohong, orang ramai melihat ia bajet realistik dan boleh dilaksanakan.
Bajet Pakatan Rakyat memberi fokus kepada usaha membantu rakyat “mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit.”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan membentangkan bajet 2012 kerajaan di Dewan Rakyat Jumaat ini.
Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo berkata, bajet Pakatan Rakyat mirip kepada bajet negeri itu tetapi banyak janji yang tidak dapat dilaksanakan.
Ibu tunggal
“Mereka janji nak beri suri rumah dan ibu tunggal RM1,000 seorang tetapi tidak buat. Begitu juga dengan rawatan percuma kepada warga emas tetapi sehingga sekarang belum ditunaikan.
“Kalau kepada negeri Selangor yang mempunyai rakyat lima juta orang tidak dapat dilaksanakan mana mungkin ia boleh dibuat kepada rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta. Ini yang dinamakan bohong atas bohong,” kata Dr Khir.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor Omar Abdul Rahman pula berkata, golongan nelayan tidak percaya bajet Pakatan boleh ditunaikan.
Katanya, “jika kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara berpuluh tahun sukar memberi bantuan dengan jumlah yang banyak mana mungkin Pakatan boleh melakukannya. Ini cakap politik kerana Anwar orang politik.”
Anwar boleh
Bagaimanapun, seorang pekerja kontrak binaan yang ditemui berkata, bajet Pakatan boleh dilaksanakan.
Menurut Afandi Anuar, 54 tahun, orang ramai kecewa dengan bajet kerajaan BN kerana terlalu menyusahkan hidup rakyat terutama kenaikan harga makanan dan barangan keperluan sepanjang masa.
“Saya harap Anwar boleh memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat bawahan,” katanya.
Peniaga kecil, Ahmad Karim menambah, kalau dilihat dari pengurusan ekonomi Selangor, ianya lebih baik berbanding beberapa negeri lain yang diperintah BN.
“Kalau Selangor dijadikan contoh bermakna Pakatan boleh melaksanakannya di seluruh negara,” katanya dengan yakin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan