Ahad, 16 Oktober 2011

Anak: Ramai lagi peneroka akan saman Felda

"Peneroka di Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu telah menyaman Felda. Sehingga ini tujuh atau lapan kes telah difailkan ke atas Felda," kata Mazlan Aliman.



PETALING JAYA: Lebih ramai peneroka di seluruh negara akan menyaman Felda dalam masa terdekat, kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Beliau berkata, tuntutan saman itu bukan berlaku di tempat tertentu tetapi merebak di seluruh negara.

“Peneroka di Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu telah menyaman Felda. Sehingga tujuh atau lapan kes telah difailkan ke atas Felda.

“Dan yang terbaru ialah membabitkan para peneroka di Kertih 1 dan Kertih 2 di Terengganu menyaman Felda membabitkan 77 orang,” katanya mengulas tindakan peneroka berkenaan yang menyaman Felda semalam.

Kesemua peneroka memfailkan saman menuntut wang caruman tanam semula di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Peneroka Sungai Koyan

Mazlan berkata, kes seperti pernah dibuat oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan di Pahang dan dimenangi mereka.

“Yang berbeza tanah peneroka Sungai Koyan ialah 14 ekar manaka di Kertih cuma 10 ekar.

“Peneroka Kertih mencarum RM4 seekar dan bermakna RM40 untuk keluasan 10 ekar,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda menyediakan peguam terbaik untuk mewakili agensi pembangunan tanah persekutuan itu.

Beliau juga menasihatkan Anak jangan menganggap semua saman akan dimenangi oleh peneroka.

Tiada ulasan: