Saya dan isteri saya berasa amat berang dengan serangan berterusan oleh pemimpin-pemimpin BN melalui tuduhan palsu terhadap anak muda saya bahawa: dia telah mencabul seorang pelajar perempuan di sekolahnya, yang menyebabkannya terpaksa dipindahkan ke sekolah yang lain, dan juga bahawa saya telah membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar perempuan itu supaya berdiam.
Saya sebenarnya tidak ingin memanjangkan episod ini kerana anak saya, yang hanya berumur 16 tahun, sudah pun dibuktikan tidak bersalah. Jelas bahawa anak saya telah menjadi seorang mangsa fitnah yang keji.
Berikut merupakan bukti bahawa penipuan dan fitnah yang dimainkan langsung tidak berasas:
a) Anak saya telah dipindahkan ke St Xavier’s Institution pada Januari 2011 dan bukan Mei 2011 seperti yang dituduh.
b) Gambar pelajar perempuan yang menjadi "mangsa" telah dibuktikan sebagai palsu, apabila perempuan tersebut sebenarnya berumur 21 tahun dan berasal dari Hong Kong.
c) Mangsa yang terbabit, Anya Corke, telah pun mengeluarkan kenyataan untuk menafikan tuduhan tersebut. Anya telah berkata bahawa beliau tidak pernah dimangsakan oleh anak saya malah tidak pernah sekali pun bertemu dengan saya atau anak saya. Sebaliknya, beliau menambah bahawa penyiaran gambar-gambarnya dalam blog-blog pro-UMNOlah yang sebenarnya telah mencabul kehormatannya.
d) Goh Boon Poh, pengetua SMJK Heng Ee, iaitu sekolah lama anak saya, telah pun menafikan secara umum bahawa tidak pernah berlaku sebarang kejadian seperti yang didakwa.
e) Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin juga telah memberitahu suratkhabar The Star pada 22 Oktober 2011 bahawa jabatannya tidak menjumpai sebarang bukti untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan dalam blog-blog pro-UMNO.
Saya sebenarnya ingin menutup kejadian ini supaya tidak membebankan anak saya yang masih muda. Dia tidak pergi ke sekolah selama dua hari selepas tuduhan-tuduhan tersebut mula diterbitkan. Sebagai seorang bapa, saya tidak inginkan anak saya untuk melalui proses siasatan polis dan sebagainya yang melibatkan "character assassins" yang beroperasi di sebalik blog-blog pro-BN.
Walaupun sudah dinafikan oleh semua pihak, MCA dan UMNO masih lagi berterusan dengan serangan yang kejam dan keji dalam blog-blog mereka seperti UMNO Online. Malahan, Bernama telah melaporakan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai berkata bahawa penafian tidak mencukupi dan mencabar supaya laporan polis dibuat.
Tindakan ahli-ahli politik BN dan UMNO untuk membuli seorang kanak-kanak, terutamanya Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin (gambar kiri) yang telah membuat kenyataan yang memalukan lagi lucah. Khairy merupakan pembuli yang paling besar di Malaysia kerana sanggup mengambil kesempatan ke atas seorang kanak-kanak yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri. Tidakkah Khairy merasa sebarang kekesalan terhadap kenyataannya yang memalukan lagi lucah, memandangkan beliau juga seorang bapa kepada dua orang anak?
Saya juga telah menyaran kepada BN dan UMNO supaya tidak berkelakuan pengecut. Jika mereka berniat untuk membunuh kerjaya politik saya, mereka dipersilakan. Tetapi, tolong biarkan anak saya yang tidak bersalah. Namun begitu, pihak UMNO masih lagi berterusan dengan kenyataan-kenyataan yang membayangkan bahawa jika laporan polis tidak dibuat maka ada sesuatu yang tidak kena.
Malah, UMNO Online telah memetik daripada laporan palsu yang kononnya telah disiarkan oleh akhbar Guang Ming Daily (dan ini telah pun dinafikan dengan segera oleh Guang Ming), yang melaporkan bahawa saya telah memindahkan anak saya ke sekolah lain kerana gejala dadah di sekolah lamanya. Baru-baru ini, blog-blog pro-MCA pula masuk menyampuk dengan mengatakan bahawa saya bukan seorang bapa yang baik kerana enggan membuat laporan polis.
Keluarga saya berasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh ramai rakyat Malaysia yang meluat dengan politik longkang (gutter politics) yang diamalkan BN dan UMNO. Kami juga menghargai Anya Corke kerana berani membuat kenyataan umum yang telah membersihkan nama anak saya. Kami juga menyambut baik kenyataan ibu Anya bahawa beliau akan mempertimbangkan tindakan mahkahmah untuk melindungi anaknya.
Selepas perbincangan dengan keluarga saya dan juga anak saya, kami berasa keberatan tetapi telah bersetuju untuk mengambil tindakan. Keengganan untuk berbuat demikian akan memberi peluang kepada pembuli-pembuli tersebut untuk terus memburukkan nama anak saya.
Kami memberi UMNO Online masa sebanyak 48 jam untuk menarik balik dan meminta maaf untuk politik kotor dan fitnah mereka terhadap anak saya dengan dakwaan yang tidak berasas bahawa anak saya telah mencabuli seorang pelajar perempuan. Jika mereka tidak membuat demikian, sebuah laporan polis akan dibuat dan tindakan lain akan diambil.
*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.
Jumaat, 28 Oktober 2011
Amaran Guan Eng terhadap UMNO online: Tarik balik dan mohon maaf!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan