Rabu, 12 Oktober 2011

Akta Kerja: Menteri Sumber Manusia kecewa MTUC mahu piket 3 Nov


KUALA LUMPUR — Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata pihaknya sedih dengan tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang memutuskan untuk mengadakan piket peringkat nasional berhubung isu Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 awal bulan depan.

Kata Subramaniam (gambar), beliau juga amat sedih dengan tindakan MTUC yang memutarbelitkan fakta dan mengelirukan orang ramai.

“Saya amat sedih dengan tindakan MTUC, Akta Kerja digubal atas permintaan kesatuan pekerja yang lain dan hanya MTUC yang menentang sedangkan saya sudah menjelaskan hal yang sebenarnya,” kata beliau.

“Akta itu bukan dibuat ikut arahan majikan, sebaliknya berdasarkan tuntutan pekerja sejak beberapa tahun lepas lagi,” kata beliau menegaskan tindakan Kementerian Sumber Manusia terhadap pindaan akta tersebut.

Subramaniam berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) hari ini.

Dalam laporan awal pagi tadi, The Malaysian Insider menyebut MTUC sebulat suara memutuskan untuk mengadakan piket di seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah tindakan Putrajaya meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Piket akan diadakan serentak di seluruh negara.

Pendirian tegas ini, susulan piket di kawasan Parlimen pada 3 Oktober lalu, diputuskan oleh mesyuarat majlis am khas petang semalam. Lebih 100 kesatuan gabungan menghadiri mesyuarat semalam.

Kali terakhir MTUC mengadakan piket nasional adalah pada 2007 berkaitan dengan dasar minimum.

“Kami memutuskan untuk mengadakan piket bagi melahirkan pendirian tidak puas hati kami dengan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia meneruskan bacaan kali kedua rang undang-undang ini meskipun kami telah menghantar surat kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Dr S Subramaniam) agar ia ditangguhkan,” kata Presiden MTUC Khalid Atan kepada The Malaysian Insider.

Surat itu dipanjangkan kepada Subramaniam ketika mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) kira-kira sejam sebelum piket 3 Oktober lalu.

Perkembangan semasa dijangka membawa kesan dari segi sokongan pekerja kepada parti pemerintah pada pilihan raya umum ke-13.

Sejurus selepas mesyuarat majlis am berakhir beberapa pemimpin kesatuan gabungan meluahkan perasaan kecewa mereka dengan berkata jika kerajaan tidak mahu mendengar suara piket, para pekerja akan mengambil pendirian semasa pilihan raya — dilihat merujuk kepada pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Sambil menegaskan MTUC telah memberi pandangan yang salah kepada rakyat, Subramaniam berkata kerajaan masih lagi bersedia berbincang dan berunding dengan MTUC agar mempertimbangkan semula berkenaan penganjuran piket di seluruh negara.

Tiada ulasan: