Khamis, 20 Oktober 2011

10,000 warga Felda sertai Himpun

Abdullah berkata kehadiran warga Felda dalam perhimpunan itu adalah secara sukarela namun pihaknya sedia membantu sekiranya mereka memerlukan kemudahan pengangkutan.



PETALING JAYA: Seramai 10,000 warga Felda dari seluruh negara akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertujuan untuk mempertahankan akidah umat Islam di Shah Alam, Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata seramai 10,000 warga terbabit sudah menyatakan minat untuk menyertai perhimpunan itu, termasuklah mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Abdullah berkata kehadiran warga Felda dalam perhimpunan itu adalah secara sukarela namun pihaknya sedia membantu sekiranya mereka memerlukan kemudahan pengangkutan.

“GWGF akan mengembling lebih 10,000 orang dari 317 rancangan Felda di seluruh negara. Jika mereka memerlukan perkhidmatan bas
boleh berurusan dengan rancangan Felda masing-masing,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Menurut beliau, walaupun GWGF bukanlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam, namun apabila menyentuh soal akidah perkara itu perlu dititik-beratkan kerana majoriti ahli GWGF beragama Islam.

“Kita satu NGO yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik. Mana yang tidak elok kita kritik….namun soal akidah ini kita tidak akan bertolak ansur maka GWGF menyokong dan dipelawa untuk turut serta dalam perhimpunan ini.

“Dalam soal agama tidak boleh meletakkan kepentingan politik mengatasi agama. Selaku NGO Melayu dan majoriti ahlinya Islam kita akan terus berjuang soal agama. Kita nafikan pembabitan ahli politik dalam perhimpunan ini,” ujar beliau.

Beliau menyeru agar umat Islam hadir beramai-ramai bagi menyatakan sokongan dan menasihati mereka agar tidak melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan itu nanti.

Himpun yang mendapat sokongan lebih 1,000 NGO termasuklah dari Indonesia dan Brunei akan bermula jam 2.00 hingga 6.00 petang pada 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Tiada ulasan: