Rabu, 25 Mei 2011

PRU 13: PAS Sarawak berpotensi dapat sokongan

Harakahdaily


MIRI: PAS Sarawak mempunyai potensi untuk mendapat sokongan masyarakat bandar pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak, Ramadhan Kasim pada majlis ceramah umum sempena meraikan kemenangan calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya negeri, di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Beliau yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Miri berpendapat masyarakat bandar adalah masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan yang mahukan kepada perubahan.

“Golongan ini juga memperolehi maklumat dari pelbagai medium serta info yang tepat,” ujarnya.

Katanya, mereka tidak mudah termakan dengan pembohongan dan penyelewangan fakta yang dimainkan oleh media arus perdana.

Tambahnya, umum mengetahui permainan politik negara ini di atas padang yang tidak sama rata dengan penguasaan BN terhadap semua media arus perdana negara tanpa memberi ruang langsung kepada PR untuk menyampaikan penerangan.

Kini, katanya rakyat telah mula sedar dan mencari sumber alternatif lain untuk mendapatkan maklumat sebenar.

Jelasnya lagi, Miri antara sasaran PAS pada PRU 13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Jika diteliti, ujarnya perubahan besar yang berlaku terutamanya masyarakat bandar bukan hanya kaum Cina sahaja, tetapi kaum lain juga membawa gelombang yang sama pada pilihan raya negeri yang lalu.

“Perkara ini dapat dilihat berdasarkan keputusan pilihanrya negeri Sarawak baru-baru ini, di mana kerusi-kerusi bandar dimenangi oleh calon Pakatan Rakyat dengan memperolehi majoriti yang cukup selesa.

“Atas semangat setiakawan yang dibina dalam Pakatan Rakyat, peluang ini perlu dimaanfaatkan secara adil dan saksama,” katanya lagi.

Beliau menambah, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang merupakan sayap baru dalam parti perlu diperkasakan supaya kewujudannya dilihat benar-benar berfungsi.

Katanya lagi, PAS bukan hanya parti kampung, malah perjuangan PAS telah diterima oleh masyarakat yang pelbagai di segenap pelosok.

Dalam pada itu, ujarnya PAS juga perlu bekerja lebih serius untuk membela nasib rakyat semua kaum.

“Apa yang paling mustahak adalah kerjasama erat antara rakan Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan untuk menumbangkan BN serta meneraju bersama menuju ke Putrajaya pada PRU 13 nanti,” katanya.

Tiada ulasan: