Khamis, 19 Mei 2011

PKR hadapi risiko diharam, sidang media tengah hari

TERKINI

KUALA LUMPUR — Di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13, Parti Keadilan Rakyat (PKR) - komponen Pakatan Rakyat, berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftaran, dipercayai berkaitan dengan pemilihan secara langsung akhir tahun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan PKR telah menerima surat berkaitan dengan tindakan itu daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) awal bulan ini.

“Saya dimaklumkan RoS sudah keluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran, surat diterima baru-baru ini, saya tak pasti tarikhnya,” kata sumber.

Sumber itu berkata berdasarkan surat RoS, PKR didakwa melanggar beberapa peruntukan perlembagaan part itu, yang ditubuhkan April 1999.

Bagaimanapun katanya, PKR mempunyai alasan kukuh yang ia tidak melanggar sebarang peruntukan dalam perlembagaannya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan sidang media mengenai isu itu tengah hari ini.

“Kami tak terkejut dengan tindakan RoS ini, tunggu sidang media nanti,” katanya lagi.

PKR, yang awalnya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditukar nama semasa selepas proses penggabungan empat tahun kemudian.

Ia mengadakan pemilihan secara langsung peringkat pusat menggunakan kaedah satu ahli satu undi, yang turut menyaksikan masalah dan aduan.

Sejak selepas pilihan raya umum 2008 PKR juga tidak kesunyian daripada kritikan daripada pesaingnya termasuk menggesa agar RoS mengambil tindakan ke atas parti itu.

Parti itu yang menyaksikan prestasi terbaik pada pilihan raya umum 2008 menerusi kerjasama dengan PAS dan DAP turut berhadapan dengan tindakan beberapa wakil rakyat, di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, keluar atau melompat parti.

Dalam pada itu, satu lagi sumber berkata, RoS mengeluarkan surat amaran itu pada 9 Mei lalu dengan merujuk kepada satu kes pemecatan membabitkan bekas ahlinya yang bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah awal 2009.

Difahamkan RoS bertindak atas aduan berkaitan dengan pemecatan A. Rajagopal di mana PKR didakwa telah melanggar Fasal 32.2.1 perlembagaannya.

Aduan itu mendakwa Rajagopal dipecat tanpa siasatan yang sewajarnya.

Penganalisis dan pemerharti melihat tindakan ini sesuatu mengejutkan kerana diambil ketika desas-desus mengatakan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu diperintah membela diri berhubung tuduhan meliwat bekas pembantunya.

Selain itu beliau juga kini berhadapan dengan pendedahan rakaman video seks yang dibawa “Datuk T” Mac lalu.

Bagaimanapun Anwar telah menafikan dengan keras dakwaan menerusi pendedahan itu.

Tiada ulasan: