Khamis, 12 Mei 2011

Pemimpin Umno perlu rujuk Tajus Salatin

Afiq Hizami, Pelatih UKM


KITAB TAJUS SALATIN membawa suatu penganjuran konsep kepimpinan yang berteraskan Islam bagi menegakkan keadilan untuk dinikmati faedahnya sesama insan.

Peranan dan fungsinya mampu dimanfaatkan dalam era globalisasi untuk melahirkan individu yang berketerampilan baik, positif dan peka terhadap kebajikan bersama.

Penghayatan teks ini akan menghasilkan para pemimpin yang adil dan keadilan itu akan dimanfaati oleh segenap lapisan masyarakat di bawah pimpinannya.

Pada era kini, kepincangan ini dilihat dengan timbulnya agenda kolonialisasi, penyelewengan, rasuah dan fitnah yang menular dalam masyarakat khususnya dalam kepimpinan Umno yang dilihat lebih bersifat rakus, angkuh, mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

Sikap negatif ini akan membawa kepada kehancuran dalam masyarakat khususnya memberi impak kepada pembangunan spiritual yang negatif.

Seterusnya kepincangan-kepincangan ini akan menjatuhkan nilai martabat sesebuah bangsa itu sendiri.

Dari perspektif Islam, manusia dianggap sebagai khalifah Allah di muka bumi yang dikurniakan akal dan tanggungjawab terhadapnya.

Sehubungan itu, adalah wajar bagi setiap individu yang dianggap sebagai pemimpin untuk memenuhi tuntutan dan peranannya kepada penciptanya.

Justeru itu, karya kesusasteraan Melayu tradisional kitab Tajus al-Salatin adalah signifikan dalam menangani arus kepimpinan jelek ini.

Berteraskan Islam dan pemikiran serta konsep-konsep yang disarankan kepada pemimpin mahupun individu akan membentuk acuan sendiri dalam kalangan masyarakat dewasa ini.

Seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan.

Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa.

Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini.

Sehubungan itu, pemimpin-pemimpin Umno haruslah merujuk kepada kitab ini segala hal ehwal kepimpinan dan politik pada zaman nabi dan zaman sahabat nabi telah terakam dalam kitab ini.

Jadilah kitab ini sebagai pedoman dan rujukan sebagai cerminan dalam menjadi pemimpin.

*Tajus Salatin atau ‘Mahkota Raja-raja’, tulisan Bukhari al-Jauhari diselesaikan pada tahun 1603M dan dipersembahkan kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, yang juga digelar Sayyid al-Mukammil (1590-1604M) sebagai sumbangan pemikiran seorang cendekiawan untuk membantu sultan menjalankan arah pemerintahan dengan baik.

Tiada ulasan: