KUALA LUMPUR — Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), yang dianggotai pemimpin pro-BN, percaya keputusan pemilihan PAS bulan depan akan mempengaruhi dan menentukan masa depan idea kerjasama antara Umno dan PAS.
Walaupun tidak mengatakan siapa yang boleh membawa ke arah kerjasama itu, namun Presiden Mubarak Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata peluang kerjasama itu akan lebih cerah jika jawatan timbalan presiden dimenangi penyandangnya Nasharudin Mat Isa atau Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut mengesahkan turun gelanggang.
Selain Nasharudin dan Tuan Ibrahim, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu juga akan bertanding jawatan nombor dua itu.
“Nasharudin OK, Tuan Ibrahim OK... perspektif berbeza tapi ada kekuatan masing-masing.
“Tetapi saya rasa jauh di lubuk hati kerjasama itu wujud,” kata Abdul Aziz pada sidang media di sini.
Beliau bagaimanapun tidak mahu meramalkan siapa yang menang bagi jawatan itu.
“Saya tidak mahu masuk campur, itu terserah kepada PAS untuk menentukannya,” katanya.
Mubarak merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri bekas wakil rakyat dan mempunyai keahlian kira-kira 1,000 orang seluruh negara.
Selain Nasharudin, Mohamad dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.
Bagaimanapun Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Husam memutuskan untuk tidak bertanding jawatan nombor dua itu.
Kesemua calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum pukul 5 petang esok.
Pada sidang media itu juga, Abdul Aziz berkata konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh diperkuatkan sekiranya Umno dan PAS bekerjasama.
“Soal Melayu itu tunggal, kekuatan orang Melayu dan 1 Malaysia tidak boleh diperkuatkan jika orang Melayu berpecah.
“Jadi kekuatan 1 Malaysia itu bergantung kepada kekuatan satu Melayu, 1 Malaysia adalah satu Melayu dan ia boleh dijayakan sekiranya orang Melayu ini bergabung,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada Barisan Nasional (BN) akan kembali memperoleh kemenangan dua pertiga dalam Parlimen, Abdul Aziz berkata berdasarkan transformasi yang dilakukan Najib, ia boleh.
“Berasaskan kepada transformasi yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak, BN boleh (mencapai kemenangan dua pertiga).
“Kalau kita lihat ia ditunjukkan dalam beberapa pilihan raya kecil yang mana pengundi-pengundi muda, pengundi Cina, pengundi India sudah kembali selepas pilihan raya umum 2008,” katanya.
Bagaimanapun tegas beliau, kemenangan itu tidak seharus diletakkan di atas bahu Najib tetapi keseluruhan parti komponen BN.
“Tapi untuk meraih sokongan ini tidak boleh hanya diserahkan kepada Datuk Seri Najib sahaja, beliau ada populariti tapi apa yang diperlukan adalah populariti calon-calon yang akan bertanding.
“Selain itu, MCA, Gerakan dan MIC perlu memainkan peranan yang lebih agresif untuk menjelaskan transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib, ini bukan kerja beliau seorang... ini kerja semua parti komponen BN. Transformasi yang dilakukan ini sudah dapat diterima, komponen parti BN juga perlu ada transformasi dan ia perlu dilakukan dengan segera,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat menafikan kemenangan dua pertiga BN dalam Parlimen selain berjaya merampas Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
Namun pada 16 pilihan raya kecil yang diadakan, BN dan Pakatan Rakyat berjaya memenangi lapan kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan