Selasa, 24 Mei 2011

Loji Lynas: NGO alam sekitar pertikai kelulusan pantas EIA


KUALA LUMPUR – Badan pencinta alam sekitar mempertikaikan kepantasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi loji pemprosesan nadir bumi RM700 juta di Gebeng dekat Kuantan awal tahun ini.

Loji itu yang kini berhadapan dengan kontroversi dijangka beroperasi suku ketiga tahun ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menekankan, kelulusan JAS Pahang terhadap EIA Awalan (PEIA), yang diberi dalam beberapa minggu sahaja, menimbulkan persoalan serius berhubung autoriti jabatan itu dalam melindungi alam sekitar.

“Projek Lynas telah dipercepatkan untuk kelulusan oleh JAS negeri Pahang. JAS menerima PEIA pada 21 Januari 2008 dan diber kelulusan awal Februari (tahun yang sama).

“Bagi projek yang kompleks (macam ini), yang melibatkan bahaya radiasi dengan satu cadangan pengurusan sisa buangan yang besar, (kemudahan) simpanan dan pembuangan, kelulusan yang cepat menimbulkan persoalan-persoalan serius,” kata Presiden SAM S. M. Mohamed Idris.

Syarikat Australia Lynas Corp kini berhadapan dengan bangkangan penduduk tempatan dan pencinta alam sekitar yang khuatir bahawa jika diteruskan akan menyebabkan insiden Bukit Merah, Ipoh dua dekad lalu, akan berulang.

SAM juga mempersoalkan bagaimana PEIA boleh diluluskan tanpa pertimbangan radiasi dan kesihatan diselesaikan terlebih dahulu.

“Apabila PEIA dikemukakan dan diluluskan, RIA (penilaian impak radiasi) masih dalam proses disediakan oleh MNA (Agensi Nuklear Malaysia) untuk dikemukakan kepada AELB (Lembaga Pelesenan Tenaga Atom).

“Bagaimana PEIA boleh mengesyorkan Opsyen Membina apabila isu-isu keselamatan radiasi belum dipertimbangkan lagi?

“Bagaimana JAS negeri boleh meluluskan PEIA dalam keadaan tergesa-gesa?” soal Mohamed Idris.

AELB, yang bertanggungjawab ke atas urusan pelesenan sebarang aktiviti yang dianggap sebagai sumber bagi pencemaran radioaktif, menekankan bahawa ia setakat ini belum memberi kelulusan kepada Lynas untuk memulakan operasi.

Kerajaan juga telah dipaksa menangguhkan projek itu bulan lalu sementara menanti hasil laporan sebuah panel bebas pakar.

Terma PEIA kelihatan mengelirukan memandangkan tiada laporan susulan diperlukan.

Projek itu terangkum dalam di luar lingkungan kerja-kerja yang memerlukan EIA terperinci, yang turut tertakluk kepada pandangan awam.

Mohamed Idris menambah, kelulusan RIA bebas EIA akan menyediakan satu contoh yang bahaya dalam jangka panjang.

“Di bawah undang-undang alam sekitar Malaysia, JAS merupakan pihak berkuasa menyelaraskan isu-isu berkaitan dengan alam sekitar dan impaknya ke atas orang awam.

“MNA dan AELB adalah pihak yang menggalakkan teknologi nuklear dan ini kemungkinan mengakibatkan konflik kepentingan memandangkan MNA adalah konsultan menyediakan RIA bagi Lynas,” katanya.

“Adakah JAS akan menyerahkan peranannya kepada AELB dalam urusan-urusan berkaitan nuklear dan isu-isu berkaitan dengan radiasi dan impaknya?” soal beliau lagi.

Kata beliau, sementara PEIA boleh diperoleh di laman JAS, proses RIA kekal tidak diketahui kedudukannya.

Meskipun kerajaan sedang mengkaji projek itu, Lynas menjangkakan tiada kelewatan dalam operasinya yang dijangka bermula September ini.

Tiada ulasan: