Ahad, 15 Mei 2011

Khairy: Pemuda Umno tak cukup jadi kumpulan pendesak

THE MALAYSIAN INSIDER



PONTIAN- Pemuda Umno tidak harus lagi hanya menjadi kumpulan pendesak politik, sebaliknya menjadi penyedia penyelesaian kepada masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin.

Khairy (gambar) berkata, ia perlu sebagai terjemahan pergerakan itu terhadap transformasi politik yang dilaksanakan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Tidak cukup bagi Pemuda untuk menjadi kumpulan pendesak sahaja tetapi akan turut menjadi penyedia penyelesaian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini," katanya berucap merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Pontian semalam.

Dipetik Bernama Online, Khairy berkata, langkah itu dapat membawa kembali golongan muda yang semakin menjauhi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, antara masalah yang dihadapi golongan muda ialah kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan juga gaji minimum yang rendah.

Beliau turut mengingatkan anggota pergerakan itu bahawa BN kini sudah tiada lagi simpanan tetap bagi meletakkan gagasan itu di tempat yang selesa untuk menubuhkan kerajaan.

Khairy berkata, mereka juga harus memantapkan lagi perjuangan dalam memperkukuhkan parti dengan menarik sokongan ramai golongan muda kepada Umno dan BN.

Beliau berkata, anggota pergerakan itu harus menolak kepentingan diri dan bekerja keras meningkatkan perpaduan dalam parti.

Tiada ulasan: