Khamis, 14 Oktober 2010

Konsert Adam Lambert ‘letak cuka di luka’

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Ma’ruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada desakan beberapa pihak yang mengesyorkan konsert Adam Lambert yang dijadualkan malam ini, dibatalkan.

Presidennya, Muhammad Zaki Sukery (gambar) berkata, mengambil kira situasi sosial masyarakat di negara ini yang semakin meruncing, penganjuran konsert itu sewajarnya dipandang seolah-olah cuba ‘meletakkan cuka di luka’.

“Ia bukan setakat tidak menyelesaikan masalah semasa di negara kita, bahkan akan menyuburkan lagi penyakit sosial yang seakan subur lantaran tidak dipandang masalah utama kepada penyakit sosial yang melanda negara,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden Gamis.

Tambahnya, penganjuran konsert penyanyi gay itu juga tidak selari dengan usaha negara dalam membasmi keruntuhan moral dan akhlak terutamanya para remaja.

“Memandangkan artis mempunyai pengikut tersendiri dan diratibkan sebagai ikon, Ma’ruf Club melahirkan rasa bimbang dengan pengaruh dan kesan yang akan ditinggalkan oleh Adam Lambert kepada masyarakat selepas ini mengambil kira kontoversi yang melitupi penyanyi tersebut,” ujarnya.

Berpendirian bahawa muzik dan pemuzik adalah diharuskan di dalam agama, Ma’ruf Club juga, katanya menuntut supaya satu garis panduan dibuat sebelum menjemput seseorang artis dari luar untuk membuat persembahan dengan mengambil kira rumpun yang disepakati bersama sebagaimana peruntukan Perlembagaan, iaitu antaranya, hendaklah persoalan nilai hidup dan sensitiviti orang Melayu Islam dijadikan kayu ukur sebelum menjemput mana-mana artis.

Tiada ulasan: