Jumaat, 29 Oktober 2010

MEDIA UMPAMA GONG?

SABAH KINI

MEDIA merupakan alat yang berkuasa dalam menyebarkan mesej perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, dan pengamalnya perlu berperanan lebih proaktif bagi meningkatkan pemahaman mengenai konsep 1Malaysia, kata seorang profesor.

Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum A Jawan menyifatkan media umpama 'gong' dan berbunyi mengikut irama yang dipalu pemainnya, iaitu pengamal media yang perlu memainkan peranan penting bagi memperbetulkan sesuatu perkara.

Beliau berkata media di Malaysia selalunya terikat dengan syarikat tertentu yang mempunyai agenda tersendiri.

"Pengamal media perlu mengenal pasti situasi. Mereka perlu mempunyai rancangan mereka sendiri, dan perlu dididik untuk keluar daripada perspektif sempit komuniti mereka sendiri, serta mempromosi konsep 1Malaysia dan bukannya konsep komuniti mereka," katanya pada Forum 'Media Massa Ke Arah 1Malaysia' yang diadakan sempena Hari Informasi Pembangunan Sedunia di sini.

"Saya lihat akhbar swasta boleh berbuat apa yang mereka mahu, tetapi saya rasa ada ruang yang mana kerajaan perlu memastikan mereka memberikan khidmat dengan mempromosi konsep 1Malaysia kepada negara," katanya.

Prof Jawan juga mencadangkan supaya media di Semenanjung Malaysia memperbanyakkan liputan mengenai Sabah dan Sarawak.

"Mungkin ini merupakan pendekatan baru dalam pemberitaan...saya rasa apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak juga penting untuk rakyat di Semenanjung," katanya.

Pandangan media umpama 'gong' disokong secara kolektif oleh penceramah lain di forum berkenaan.

Pakar strategi media Astro Awani Suhaimi Sulaiman yang bercakap mengenai topik "Komunikasi Bersemuka Ke Arah 1Malaysia" berkata, bagaimana gong itu dipalu adalah penting, kerana cara berita dilaporkan akan memberi kesan terhadap khalayak.

"Rakyat hari ini semakin bijak dan mahu turut serta memainkan peranan dalam pembangunan negara. Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa kaedah yang digunakan adalah selaras serta menjawab kemusykilan dan difahami sepenuhnya oleh rakyat," katanya.

Ketua Pengarang Berita Publishing Datuk A Kadir Jasin mengingatkan bahawa generasi muda lebih terdedah dan mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan menerusi media massa.

"Di sinilah orang-orang selaku pengamal media, perlu berperanan menjelaskan konsep 1Malaysia kepada khalayak, terutama generasi muda," katanya.

Ketua Dasar dan Penyelidikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Dr Syafiq Alfonse turut menyokong pandangan itu dan berkata, adalah penting menyampaikan maklumat tepat mengenai 1Malaysia kepada orang ramai serta memastikan tiada sesiapa yang berkepentingan mengambil kesempatan mengeksplotasi konsep yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bagi saya, tiada media baru dalam era kini. Radio dan televisyen masih relevan sebagai medium sumber maklumat. Saya juga percaya RTM masih relevan dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai kerana mereka mempunyai pengikut mereka sendiri," katanya.

Moderator bagi forum tersebut ialah Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong. (BERNAMA)

Tiada ulasan: