Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan yang menahan pegawai Jabatan Imigresen di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) langsung tidak boleh diterima. Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, mana mungkin mencegah kejahatan dengan melakukan kezaliman terhadap manusia lain. Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang telah menahan tujuh kakitangan Jabatan Imigresen dan dua warga asing di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing ke negara ini. Katanya, ISA sejak dahulu diiktiraf rakyat sebagai akta drakonian yang zalim dan kejam yang berkuasa sewenangnya menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara selama mana yang disukai oleh Menteri Dalam Negeri. Beliau menambah, sepatutnya kerajaan bertindak wajar dengan menangkap dan mendakwa mereka di mahkamah. “Bukankah negara kita mempunyai Akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (Akta) 670 yang telah dikuatkuasakan pada 28 Februari 2009,” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Katanya, berdasarkan kes yang sama sebelum ini pada 20 Julai 2009, lima pegawai kanan Jabatan Imigresen Johor dan empat perantara telah ditahan di beberapa tempat di Johor dan mereka telah disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda. “Mengapa dalam kes kali ini, kerajaan memilih Akta ISA? Apakah kerajaan boleh bertindak sesuka hati tanpa mengikut undang-udang yang mereka cipta sendiri? Ataupun mungkinkah kerajaan bertindak sebegini kerana melindungi sesuatu pihak yang lain sehinggakan tidak mahu mendakwa pihak yang ditahan di mahkamah?” soalnya lagi. Soalnya, mengapa pembunuh Datuk Sosilawati dan beberapa pembantunya yang dibunuh secara kejam yang dianggap pembunuhan paling dahsyat di negara ini didakwa di mahkamah tetapi pegawai-pegawai Imigresen berkenaan disumbat dalam ISA. “Bagaimanakah keadilan dapat ditegakkan dengan cara sebegini?” tanya beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPP. Demi mengharapkan keadilan, ujarnya kerajaan wajar melepaskan mereka dari ISA dan dakwa mereka di mahkamah secara terbuka. Tambahnya lagi, undang-undang dicipta untuk dipatuhi bukan untuk sekadar bahan pameran sahaja. Justeru, beliau berkata, ISA sepatutnya sudah lama dikuburkan dan dijadikan bahan sejarah. |
Khamis, 14 Oktober 2010
Dakwa pegawai Imigresen di mahkamah, bukan ISA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan