Sabtu, 30 Oktober 2010

Zaid, Nurul Izzah peroleh undi terbanyak hari pertama pemilihan



Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR — Datuk Zaid Ibrahim mendahului saingan jawatan timbalan presiden manakala Nurul Izzah Anwar pula berada di depan dalam pertandingan kerusi naib presiden berdasarkan keputusan pengundian membabitkan sembilan cabang pada hari pertama semalam.

Sembilan cabang itu membabitkan lima di Kedah dan empat di Kelantan.

Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menerima 577 undi manakala dua naib presiden, Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub masing-masing memperoleh 374 dan 61 undi.

Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang kali pertama bertanding jawatan naib presiden menerima 494 undi.

Kedudukan beliau disusuli Pengarah Pilihan Raya PKR dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dengan mengumpulkan 467 undi, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman menerima 462 undi, Pengarah Strategi PKR Tian Chua (430), Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan (304), Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang juga naib presiden (267) dan seorang muka baru R Suresh Kumar (207).

Ansari Abdullah yang bertanding kerusi Parlimen Batu Sapi sekarang mendapat 84 undi, Johson Chong (145), Baru Bian (143), Dominique Ng (51), James Ghani (29), S Manikavasagam (47), Saiman Marjuki (36), Dr Xavier Jayakumar (84), Yahya Shari (58) dan Yusmadi Yusoff (79).

Keputusan pengundian hari pertama dikeluarkan oleh sekretariat pemilihan tengah hari ini.

Hari ini, tujuh cabang di Pahang sedang mengadakan pengundian iaitu Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan dan Pekan manakala enam di Negeri Sembilan iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rasah, Seremban dan Telok Kemang.

Lima lagi di Kelantan iaitu Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Cabang Kulim-Bandar Baharu dan Padang Serai di Kedah juga melangsungkan pengundian, kesemua tiga cabang di Perlis iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

Sembilan cabang di Perak, negeri yang pengerusinya Mustaffa, juga mengundi hari ini iaitu Gerik, Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas dan Sungai Siput.

Pengundian berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Pengundian secara berperingkat selama 10 hari masuk hari kedua hari ini.

Ini kali pertama PKR yang berusia 11 tahun mengadakan pemilihan secara langsung iaitu satu ahli satu undi membolehkan kesemua 400,000 ahlinya mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat.

Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang ditandingi 132 calon, undi terbanyak diperoleh oleh Zamri Yusuf (501), Wan Salleh Wan Isa (440), Badrul Amin (430) dan Johari Abdul (358).

Zamri, Wan Salleh dan Johari merupakan pemimpin dari negeri Kedah.

Difahamkan senario kedudukan akan berubah banyak selepas pengundian hari kedua dan ketiga esok.

Sementara itu, pemilihan sayap Wanita menunjukkan penyandang Zuraida Kamaruddin memperoleh 178 undi manakala dua pencabarnya Suraya Sudin dan Animah Ferrar masing-masing memperoleh 98 dan 32 undi.

Gandingan Zuraida bagi jawatan timbalan ketua Wanita, Rodziah Ismail mendapat 192 undi manakala Asmah Abd Kadir pula mengumpulkan 35 undi.

Pengundian jawatan naib ketua Wanita yang menyaksikan sembilan calon bersaing dengan Haniza Talha memperoleh 138 undi dan disusuli oleh Gan Pei Nei (125), Noor Sham Abu Samah (120), Salma Ismail (59), Aisah Lamsah (55), Fellicia Ling (43), Begum Jan Abdullah (24), Rozaini Mohd Rosli (28) dan Rosmah Suly (tujuh).

Di peringkat sayap pemuda PKR, Angkatan Muda Keadilan pula penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin bersaing rapat.

Shamsul Iskandar memperoleh 136 undi manakala Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” mendapat 127 undi.

Gandingan Shamsul Iskandar bagi kerusi timbalan ketua AMK, Khairul Anuar atau Jonah memperoleh 193 undi berbanding Adun Teja Chang Lih Kang, dari barisan Badrul Hisham, menerima 54 undi.

Seramai 11 calon bertanding kerusi naib ketua AMK.

Azmizam Zaman Huri mendapat 156 undi, Chan Ming Kai (62), Erveana Ansari Ali (113), Farhash Wafa (43), Kesavan (39), Lee Khai Loon (32), Nazree Yunus (43), Nicholas J Guntobon (23), Rozan Azen Mat Rasip (24), V Sivam (96) dan Yunus Jamhari (51).

Tiada ulasan: