Empat pelajar IPT edar risalah ditahan
GUA MUSANG — Empat pelajar dari Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) ditahan polis Kelantan hari ini ketika sedang mengedarkan risalah pada kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Kesemua pelajar tersebut ditahan ketika mengedarkan risalah di Bandar Lama Gua Musang kira-kira pukul 1.50 tengah hari.
Mereka dibebaskan pukul 9.15 malam tadi selepas diambil keterangan.
Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia ditahan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu kerana bersimpati dengan parti komponen Pakatan Rakyat.
Empat pelajar tersebut adalah Ahmad Syukri Abdul Razak, 25, Mohd Syahrulden Ahmad Rosdi, 22, Mohd Yusof Hadhari, 22, dan Mohd Rijaluden Mohd Anwar, 19.
Mereka merupakan pelajar Kolej Universiti Islam Selangor, Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur dan Universiti Malaya.
Seramai 200 pelajar dari Gamis yang menggelarkan diri sebagai “Jentera Mahasiswa PRK Galas” mengedarkan risalah di beberapa kawasan di Galas.
Menurut jurucakap Gamis Ahmad Shukri Kamaruddin, kesemua pelajar itu ditahan sebelum diarahkan ke IPD Gua Musang untuk memberikan keterangan.
“Pada asalnya polis ingin menahan semua pelajar yang mengedarkan risalah namun selepas berbincang hanya empat pelajar yang dibawa bersama mereka.
“Sebenarnya risalah yang kami edarkan tidak ada unsur politik pun cuma mengajak penduduk di Galas ini untuk keluar mengundi pada 4 November ini.
“Dalam risalah yang diedakan tidak menunjukkan kami sokong mana-mana parti,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam ini.
Tambah Shukri, kesemua pelajar akan pulang ke Kuala Lumpur esok.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah.
DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.
Pengundian akan diadakan pada 4 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan