Khamis, 28 Oktober 2010

Ng "digerudi" oleh bekas bos dalam parti


ngOleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Dr Ng Yen Yen, yang menerima kritikan kerana berbelanja mewah ketika melawat ke luar negeri, kini kembali mendapat tumpuan, kali ini "digerudi" oleh bosnya dalam MCA, Ong Tee Keat.

Dalam jawapan bertulis kepada Menteri Pelancongan, Ong (BN-Pandan) menyoal perincian lawatan rasmi Ng sejak beliau mengambil alih tugas daripada Azalina Othman Said pada 2009 dan apa kesannya yang beliau bawa kepada industri.

Menurut kementerian berkenaan, Ng membuat 16 lawatan rasmi, melibatkan 26 buah negara dan 61 bandaraya sehingga Oktober 2010. Secara keseluruhan, kesemua lawatan itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.25 juta.

"Dan jumlah perbelanjaan lawatan beliau pada 2009 ialah RM1.67 juta dan RM1.58 juta di antara Januari hingga Oktober 2010," kata kementerian itu.

Walaupun melibatkan kos yang melambung tinggi, kementerian itu berkata usaha beliau untuk meletakkan kedudukan negara ini pada tangga ke 10 dalam "10 Tertinggi Negara Yang Dilawati" berbanding di tempat ke 11 pada 2008.

"Ini sesuatu yang membanggakan kerana Malaysia merupakan salah sebuah dari dua negara yang masuk dalam senarai tersebut," kata kementerian itu.

Minggu lalu, Ng mempertahankan dirinya dari kritikan mengenai lawatan rasminya dengan menyatakan usaha peribadi beliau pergi menemui para pelancong membawa kepada peningkatan jumlah ketibaan pelancong pada kos promosi yang lebih rendah.

Brosur Pavilion Expo di China memalukan

Serangan ke atas Ng tidak terhenti di situ saja apabila dua ahli parlimen pembangkang mendedahkan hari ini bahawa brosur yang mempromosi Pavilion Malaysia di Expo Shanghai 2010, telah menarik perhatian daripada para pelancong, tetapi dengan pandangan yang negatif.

Bercakap kepada para pemberita di lobi Parlimen hari ini, Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Anthony Loke (DAP-Rasah) berkata brosur dua muka surat itu diedarkan pada September lalu mengandungi beberapa kesilapan ejaan.

Mereka memberitahu perkataan yang mudah seperti "multicultural", "Taman Negara", "invite", "country", "development", "pavillion" dan "visitors" dieja dengan salah pada muka depan brosur itu. Sebaliknya perkataan-perkataan itu dieja dengan "nulticultural", "Taman Nerara", "incite", "ctry", "decelopment", "pacillion" and "visitous", yang telah mencemar imej negara pada mata dunia.

"Matlamat expo itu ialah untuk mempamer apa yang boleh disumbangkan oleh negara ini kepada ekonomi dunia. Malangnya tidak ada apa yang diperlihatkan oleh Pavilion Malaysia bagi tujuan ini," kata Loke.

Tiada ulasan: