Jumaat, 29 Oktober 2010

Semakan Kehakiman kes Sosilawati ditangguh pada 15 November


imagesOleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan semakan kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Majistret Banting yang menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara terhadap dua lelaki yang mengaku bersalah melupuskan bukti pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki menangguhkannya pada 15 November depan kerana mahu menunggu alasan penghakiman dari Mahkamah Majistret Banting.

"Saya menggunakan kuasa saya untuk menyemak semula atas aduan bahawa majistret mahkamah itu tidak mengikut lunas undang-undang," katanya.

Beliau juga menangguhkannya berikutan terdapat notis rayuan yang difailkan oleh salah seorang tertuduh, K. Saravanan.

Saravanan, 19, memfailkan rayuan itu Selasa lalu melalui firma Tetuan A S Dhaliwal atas alasan tidak berpuas hati dengan keputusan Majistret Hurman Hussain.

"Saya tangguhkan semakan kehakiman untuk hari ini dan jika perlu, saya boleh buat semakan diperingkat rayuan nanti," kata Datuk Wira.

IMG00162-20101029-0959Mahkamah Majistret Banting pada 15 Oktober lalu menjatuhkan hukuman penjara terhadap V Suresh, 26 dan Saravanan, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati pada 31 Ogos lalu.

Selain Sosilawati, turut menjadi mangsa pembunuhan kejam itu adalah pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38 dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Saravanan dan Suresh diwakili peguam A S Dhaliwal manakala peguam Amer Hamzah beserta Ravi Nekoo, R Pushpa dan Datuk Ng See Teong hadir di mahkamah pagi ini sebagai peguam pemerhati.

Tiada ulasan: