Ahad, 31 Oktober 2010

Pemilihan PKR: Pengundi kurang kerana final Piala Malaysia


1 bola Oleh Fazy Sahir dan Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Kehangatan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia diantara Kelantan dan Negeri Sembilan malam ini, merencatkan proses pengundian pimpinan pusat PKR terutama di kedua-dua negeri terbabit.

Di Kelantan, rata-rata cabang yang dihubungi memaklumkan ahli yang mengundi kurang memuaskan memandangkan ramai yang ke Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut.

Timbalan ketua cabang Kubang Kerian Wan Mohd Aziz Wan Abdullah nyata kesal dengan situasi itu, sedangkan ahli yang keluar hanyalah golongan vateran dan sudah berumur.

Katanya, golongan muda yang terdiri daripada ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) amat kurang serta menyifatkan mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti.

"Saya kecewa hanya sedikit yang datang hari ini. Hanya 50 orang daripada 429 ahli di cabang Kubang Kerian yang datang mengundi.
Kebanyakkan yang hadir hari ini orang-orang tua, yang muda belia semua tiada. Mereka semua ke Bukit Jalil…menyedihkan.

"Jika setuju lebih baik tunda pengundian ini…seperti tersilap masa. Saya pun nak cakap susah dah tanggungjawab, maka rugi siapa-siapa yang diundi dalam AMK namun ramai yang tidak membantu dalam pengundian ini," katanya kecewa.

Perkara yang sama turut berlaku di beberapa cabang di Kelantan yang mengadakan pengundian hari ini seperti Bachok, Pasir Puteh dan Ketereh dan Tanah Merah.

Untuk rekod FMT menghubungi cabang-cabang itu dan di Bachok dari 2,440 ahli berdaftar hanya kira-kira 100 orang yang turun mengundi.

Manakala di Pasir Puteh 108 pengundi menjalankan tanggungjawab mereka daripada keseluruhan pengundi berdaftar -500 orang.

Di Ketereh kira-kira 100 orang hadir daripada 946 pengundi, manakala di Tanah Merah, selain masalah kekurangan ahli mengundi cabang itu turut mengalami masalah kelewatan kertas undi.

Menurut ketua cabangnya yang juga Adun Tanah Merah Amran Ghani, kelewatan itu disebabkan masalah logistik ekoran kertas undi yang dihantar menaiki kapal terbang.

"Ahli yang datang hari ini kira-kira 100 orang daripada 1,200 yang mendaftar. Ramai pengundi yang tengok bola malam ni… Kita ada masalah kelewatan kertas undi sebab ibu pejabat hantar naik kapal terbang. Tetapi semua berjalan dengan baik dan kita habis jam 5 petang tadi," katanya yang dihubungi FMT.

Sementara itu, dicabang Rasah Negeri Sembilan turut mengalami situasi yang sama seperti di Kelantan.

Memandangkan perlawanan akhir ini membabitkan dua negeri itu, pengundian pusat ini menerima tempiasnya.

Ketua cabang Rasau Muhammad Kamel Yasin berkata daripada 2,000 ahli PKR yang berdaftar hanya 100 orang yang keluar mengundi hari ini.

"Saya kesal dengan hal ini. Kita beritahu pada ahli bahawa perjuangan kita bukan seperti Umno. Jika sebab perjuangan datang sendiri dan sanggup ke depan dalam memperjuangkan parti.
"Namun disebabkan perlawanan ini ramai ahli dan penyokong turun ke Kuala Lumpur," katanya yang turut kesal dengan perkembangan tersebut.

Tiada ulasan: