Ahad, 31 Oktober 2010

Kegoyahan UMNO yang Ketandusan Isu

GALAS- Yang Berhormat Latiff Abdul Rahman, ADUN Mengkebang dalam ceramahnya berdekatan dengan Markaz Penerangan PAS dekat sini, menyatakan bahawa UMNO seolah-olah ketandusan ‘modal’ atau isu untuk dimainkan pada kempen pilihan raya kecil kali ini.

“UMNO berjanji tidak akan memainkan isu peribadi tetapi mereka sendiri melalui UMNO Online mengeluarkan kenyataan bahawa calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamed pernah ditangkap khalwat dengan ibu sendiri. Walaupun kenyataan ini telah ditarik balik, namun ianya jelas mencerminkan pemikiran serta siapa UMNO itu sendiri.

UMNO seolah-olah mempertikaikan pencalonan Dr. Zulkefli MOhamed, apabila menimbulkan isu calon PAS sebagai orang luar.

Seperti kebiasaan, UMNO terus memainkan isu pembangunan di negeri ini khususnya di Gua Musang. Memberi contoh kerajaan Thailand yang boleh membangunkan negaranya tanpa kehadiran UMNO, YB Latiff menegaskan bahawa pembangunan merupakan tanggungjawab kerajaan dan bukannya parti.

Kelantan yang dipimpin oleh PAS, meletakkan dasar 'Membangun Bersama Islam' di mana pembangunan fizikal dan pembangunan insan dijalankan serentak kerana ia merupakan tanggungjawab sesebuah kerajaan yang memerintah.

UMNO juga dikatakan mengamalkan demokrasi berat sebelah, apabila menyaksikan
penguasaan UMNO terhadap media perdana termasuk akhbar, stesen televisyen serta radio terutamanya dalam memainkan sebarang isu apabila berdepan dengan pilihan raya.

“Kita tiada platform lain untuk meluaskan pengaruh kita melainkan dengan ceramah-ceramah seperti ini serta sebaran risalah-risalah. Dia memburukkan kita, tapi kita tidak boleh jawab. Perkara yang perlu kita jelaskan kepada rakyat, kita hanya boleh buat melalui ceramah seperti ini sahaja."

Beliau turut mengulas beberapa peruntukan pada bajet 2011 yang jelas menunjukkan kepentingan peribadi, dalam masa yang sama membazirkan wang rakyat terutama ketika menyentuh perihal penambahbaikan kediaman rasmi Perdana Menteri yang berjumlah RM 65 juta serta uasaha untuk mewujudkan Pusara Negara yang bernilai RM 70 juta. “Inikah yang dikatakan rakyat didahulukan?” soal beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau ada menyebut tentang istilah ‘roti canai’ yang digunakan oleh masyarakat Cina di Galas, simbolik kepada ‘bulan’ iaitu PAS. Justeru beliau menyeru semua kaum agar turun mengundi dan memilih ‘roti canai’ pada 4 Oktober nanti.

Tiada ulasan: