Khamis, 28 Oktober 2010

DUN Galas: PAS masih ‘simpan’ isu royalti minyak



Hadi tidak menyentuh isu royalty minyak dalam ceramahnya malam tadi. — gambar fail

GUA MUSANGt — Isu royalti minyak masih belum disentuh oleh parti-parti yang bertanding di Galas khususnya PAS, yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan sebelum ini mendakwa didiskriminasikan oleh kerajaan pusat.

Sebelum ini ramai menjangkakan bahawa parti Islam itu akan membawa isu berkenaan walaupun pertikaian berkaitannya telah pun difailkan di mahkamah akhir Ogos lalu.

Ketika menyampaikan ceramah di Kampung Baru di sini malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang langsung tidak menyentuh hal berkaitan royalti minyak, sebaliknya lebih kepada isu nasional yang lain.

Begitu juga ketika ceramah pada hari pertama kempen kelmarin.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun berkata isu royalti minyak hanya akan dibangkitkan apabila tiba masa yang sesuai.

Beliau juga menolak bahawa isu royalti tidak akan dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil PAS di Galas.

“Isu banyak tapi kita akan lepas satu persatu, kalau kita rasa penting kita akan lepaskan dulu.

“Buat masa ini isu minyak kita simpan dulu, kalau sudah sampai kita akan lepaskan dalam kempen dan ceramah kita.

“Kita akan gunakan isu minyak ini, bukan tidak guna. Cuma kita tunggu kesesuaian keadaan,” kata beliau.

Abdul Fatah berkata masih terlalu awal untuk membangkitkan isu royalti minyak kerana banyak isu besar lain yang perlu diberikan keutamaan.

“Setiap isu yang kita gunakan dalam kempen mengikut keadaan semasa, banyak masa lagi. Buat apa nak lepaskan semua isu sekali gus?

“Strategi dan pendekatan berubah. Kita akan ikut keadaan kerana ia tidak statik. Dasar statik tetapi strategi tidak.

“Jadi tidak perlu anda tanya bila akan bangkitkan isu ini (minyak), bila sampai masa nanti kita akan lepaskan. Anda akan tahu juga nanti.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isu yang bakal dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

Menurut Abdul Fatah, PAS tidak sesekali akan ikut rentak Barisan Nasional (BN) yang dlihat lebih agresif untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Walaupun BN dah gunakan pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan pengundi, kita tidak akan ikut rentah BN.

“Kita ada cara tersendiri, kita akan bangkitkan isu mengikut keadaan,” katanya.

Pada Ogos lalu kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti — dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005 — terhadap hasil minyak diperoleh dari luar pesisir pantai Kelantan.

Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima pada 27 September lepas akibat barah.

Pengundian diadakan 4 November ini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu yang mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS pula menurunkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Tiada ulasan: