Jumaat, 29 Oktober 2010

Petugas BN Galas mahu bantu Red Warriors ‘galas’ Piala Malaysia



Calon BN Abdul Aziz Yusoff (depan) dan Tengku Razaleigh cuba bakat mereka pada majlis perasmian Kejohanan Futsal 1 Malaysia di Sungai Terah, Gua Musang pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG — Kempen Barisan Nasional (BN) yang mengharungi saingan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak ketinggalan daripada memberi tumpuan ke atas final Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan, esok.

Dilihat langkah menghargai pekerja-pekerja pilihan raya, Umno Gua Musang memberikan tiket perlawanan kepada 700 petugas parti untuk menonton pertemuan tahun kedua berturut-turut membabitkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.

Selain itu, satu skrin besar akan dipasang di Dataran Kesedar berhampiran dengan kawasan orang ramai untuk mengikuti siaran langsung.

“Kita telah bercakap dengan Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) yang telah memberi peluang kepada kami untuk membeli 700 tiket,” kata Pengarah Pilihan Raya BN Tengku Razaleigh Hamzah selepas menyerahkan tiket-tiket itu kepada petugas parti di sini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berkata, parti telah menyediakan bas untuk membawa petugas ke ibu negara.

“Kita beri kepada petugas kita, hanya untuk petugas yang berdaftar dengan kita sahaja.

“Jadi kita beri mereka cuti untuk ke Kuala Lumpur dan menonton perlawanan, mereka akan pulang selepas perlawanan tamat,” katanya.

Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” memberitahu wartawan selepas merasmikan kejohanan futsal di sini.

Kata Tengku Razaleigh, beliau turut mengatur untuk diadakan kedai kopi ketika siaran langsung perlawanan kepada sesiapa yang tidak mendapat tiket.

“Mereka kecewa kerana tidak dapat tiket. Lebih 1,000 orang ingin pergi,” kata beliau.

Beliau juga menjemput orang ramai untuk berkumpul di Dataran Kesedar dan menonton perlawanan di skrin besar.

“Saya mendoakan pasukan kita berjaya dan berharap penduduk Gua Musang akan memberikan sokongan kepada pemain kita untuk memperolah kejayaan Kelantan.

Pasukan Kelantan tidak pernah menjuarai mana-mana kejuaran utama di Malaysia.

Pasukan Red Warriors tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.

Semalam, Annuar berkata, pasukan Red Warriors akan membawa slogan “permainan tercantik, penyokong terbaik” ketika bertemu Negeri Sembilan esok.

Katanya, beliau menaruh harapan dan menggalas tanggungjawab yang tinggi untuk melihat perlawanan akhir bola sepak berprestij itu, tidak dicemari insiden yang tidak diingini.

Tiada ulasan: