GEORGE TOWN — Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Gerakan Pulau Pinang hari ini menolak usul undi tidak percaya terhadap Pengerusinya Datuk Dr Teng Hock Nan dengan jumlah undian sebanyak 174 daripada keseluruhan 320 undi.
Dalam proses pengiraan yang bermula pada 11.40 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian, sebanyak 145 delegasi menyokong usul undi tidak percaya terhadap Dr Teng manakala satu undi rosak.
Pada sidang media yang diadakan selepas itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menggesa semua anggota parti di negeri ini agar menerima keputusan EGM itu tanpa ragu-ragu dan sedia bekerjasama.
“Yang penting proses demokrasi yang berlangsung hari ini berjalan
dengan lancar dan perwakilan juga telah membuat keputusan pada usul yang dikemukakan.
“Kita perlu melihat lebih jauh kerana cabaran di hadapan adalah sangat besar dan amat penting terutama menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Koh berkata adalah menjadi lumrah ketika proses berkempen sekiranya ada perkara yang kurang dipersetujui oleh pihak lain.
“Selepas ini parti Gerakan di Pulau Pinang mestilah bersatu hati, berganding bahu dan bersedia bermaaf-maafan antara satu sama lain demi kepentingan parti,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pengerusi Gerakan negeri agar berusaha lebih gigih lagi kerana masih diberi sokongan untuk menerajui pucuk pimpinan parti di Pulau Pinang.
Dalam sidang media yang sama, Dr Teng berkata proses demokrasi yang berlaku hari ini merupakan isyarat kepada pucuk pimpinan untuk berusaha lebih gigih bagi mendapatkan sokongan bukan sahaja di kalangan anggota parti tetapi juga rakyat.
“Kehadiran 80 peratus perwakilan pada proses kali ini menunjukkan bahawa mereka amat mengambil berat urusan dalam parti dan sangat mengasihi parti melebihi kepentingan peribadi,” katanya.
Pada 17 September lepas, sekumpulan anggota Gerakan Pulau Pinang menyerahkan 60 tandatangan untuk mendesak EGM diadakan bagi menyingkirkan Dr Teng, dan mahu 393 perwakilan negeri mengusulkan undi tidak percaya terhadap pengerusi Gerakan negeri.
Mereka mendakwa Dr Teng perlu disingkirkan daripada jawatan yang dimenanginya pada pemilihan parti 2008 kerana tidak cekap dan gagal membawa perubahan selepas mengambil alih kepimpinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan