Ahad, 10 Oktober 2010

Konvensyen pulihkan Umno Terengganu Jumaat ini

BERNAMA

KUALA TERENGGANU — Badan Perhubungan Umno Terengganu akan menganjurkan konvensyen selama dua hari mulai Jumaat ini yang bakal disertai pelbagai golongan.

Ia bertujuan untuk memantapkan hala tuju dan meningkatkan kecemerlangan parti dan pentadbiran kerajaan negeri, kata Setiausahanya Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

“Semua peringkat kepimpinan parti, ilmuan agama, kelompok cendekiawan, golongan profesional, penjawat awam, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, aktivis masyarakat dan generasi belia akan menyertai konvensyen ini.

“Peserta akan diberi peluang untuk berkongsi dan mencadangkan idea baru bagi memperbaiki segala kelemahan yang mungkin ada dalam parti dan juga sistem pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tengku Putera yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata konvensyen itu juga diharap dapat memulihkan apa yang berlaku dalam Umno Terengganu.

Konvensyen akan dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan ditutup oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Tiada ulasan: