BERNAMA | ||
|
L/Koperal Abdul Jabar Jalil, 53, dituduh menerima suapan RM500 daripada kerani RBA Metal Sdn Bhd Nor Hasni Maria Abd Rahim supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu 13 Oktober tahun lalu antara 1.30 petang hingga 2 petang di syarikat berkenaan ketika bertugas di Cawangan Pemandu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.
Sementara itu, pemandu JAS, Mohd Nordin Adullah, 37, dituduh menerima suapan dalam jumlah yang sama daripada individu yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan terhadap syarikat terbabit yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Akta Kualiti Alam Sekitar iaitu membuat pembakaran terbuka.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 17 Disember tahun lalu, pada 12.25 tengah hari di tempat yang sama dan kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Manakala Koperal Mohd Hazman Yusof, 51, pula dituduh menerima rasuah sebanyak RM300 daripada individu dan syarikat yang sama pada 2.15 petang 25 Februari lalu di tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duannya.
Ketiga-tiga tertuduh yang didakwa berasingan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin dan mahkamah kemudiannya menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan semula ketiga-tiga kes itu.
Abdul Jabar dan Mohd Nordin dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Hazman dikenakan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Terengganu Wan Ahmad Nidzam Wan Omar.
1 ulasan:
Bila agaknya kalangan polis nak berhenti terima rasuah....Rasuah tu kan haram hukumnya !
Catat Ulasan