SHAH ALAM : Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan akan mengadakan Program Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) pada 9 Oktober 2010 jam 8.30 pagi hingga 11.00 malam di Daerah Sepang dan seterusnya akan ke daerah-daerah lain selepas ini.
Ia adalah susulan daripada pelbagai program menangani gejala sosial yang telah di rancang dan dilaksanakan sempena Program Motivasi Generasi Idaman Selangor 2010. Antaranya ialah Bicara Remaja, Sembang Santai dan Majlis Dialog Generasi Idaman Selangor, Program Sukan Interaktif untuk remaja, Gerakan Menulis Perdana yang telah dilancarkan oleh DYMM Sultan Selangor pada 26 Jun 2010 bersempena Hari Ilmu Selangor dan banyak lagi.
Selain itu, Program Jelajah Ilmuwan pula akan dilaksanakan bertujuan untuk mendekatkan Ilmuwan dengan para pelajar serta berkongsi pengalaman kejayaan mereka kepada masyarakat khususnya golongan pelajar agar dapat menjadi dorongan dan semangat kepada para pelajar dan ahli masyarakat yang hadir untuk berjaya di dalam kehidupan.
Pengunjung juga berpeluang untuk menghadiri temuduga terbuka melalui Program Jom Kerja yang akan diadakan pada hari tersebut bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang bagi mengisi kekosongan jawatan dari peringkat SPM hingga Ijazah.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyediakan peluang kerjaya kepada masyarakat tempatan, selain itu dapat membantu syarikat – syarikat yang memerlukan pekerja khususnya ditahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan dikalangan warga tempatan.
Langkah proaktif dengan mewujudkan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial mendapat kerjasama semua pihak antaranya Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM, Polis Diraja Malaysia Selangor (PDRM) dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Harapan Kerajaan Negeri, dengan terlaksananya Program Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) ini dapat merealisasikan hasrat dan inspirasi Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi yang berkualiti dan menjadikan Selangor Negeri Idaman, Maju dan Berkebajikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan