KUALA LUMPUR : Sebanyak 71.6 peratus kes kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan muda dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun, kata KetuaPengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.
Beliau berkata mangsa kemalangan tersebut tidak mempunyai kemahiran yang cukup dalam mengendalikan motosikal dan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Ini adalah antara hasil kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS),” katanya kepada pemberita selepas mmerasmikan Klinik Keselamatan Menunggang Petronas di sini hari ini.
Menurutnya fokus tentang kepentingan mengendalikan motosikal dengan selamat akan diutamakan kepada golongan muda dalam lingkungan umur tersebut selama dua tahun di seluruh Malaysia.
“Kita nak wujudkan sikap utamakan keselamatan dan berharap ia dapat dipraktikkan secara berterusan dalam jangka masa beberapa tahun akan datang,” katanya.
Suret berkata kerjasama yang lebih erat akan dijalankan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memastikan keselamatan golongan tersebut lebih terjamin apabila menunggang atau membonceng motosikal.
“Isu tentang kepentingan keselamatan anak-anak yang bermotosikal akan dibincangkan dengan ibu bapa. Usaha ini kita nak mula dari bawah iaitu daripada golongan komuniti terlebih dahulu dengan kaedah penyertaan masyarakat’, kata beliau.
Klinik itu yang dianjurkan bersama JKJR dan Kementerian Pengangkutan disertai 100 orang pelajar dari empat buah sekolah di sekitar Lembah Klang iaitu SMK Datok Lokman, SMK St. Gabriel, SMK Taman Maluri dan SMK Aminuddin Baki selama dua hari mulai hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan