KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana altet yang menutup aurat dan bertudung daripada aktif dalam sebarang aktiviti sukan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Memberi contoh atlet menembak negara Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Muhamad Talib, yang kedua-duanya memakai tudung dan menutup aurat, beliau berkata ia membuktikan bahawa mereka tidak dihalang daripada bergiat aktif dalam sukan.
“Kalau katakan tidak ada tempat langsung bagi mereka yang menutup aurat dan bertudung, rasa-rasa Nur Ayuni dan Nur Suryani adalah contoh di mana ada bidang sukan yang boleh diceburi. Isu menutup aurat dalam bidang sukan tidak timbul,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, semasa sesi perbahasan rang undang-undang itu, Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) membangkitkan mengenai budaya bersukan di negara ini yang “tidak mesra Islam” kerana tidak menyediakan kemudahan sewajarnya bagi membolehkan atlet wanita yang menutup aurat bergiat aktif dalam sukan.
Beliau berkata kebanyakan kemudahan sukan di negara ini yang melibatkan atlet wanita adalah tidak sesuai kerana mereka ini terdedah kepada pandangan umum sehingga menyukarkan mereka bergiat secara aktif.
“Kebanyakan acara sukan sekarang lebih kepada pertunjukan mendedahkan badan, situasi ini bukan budaya yang mesra Islam,” kata Siti Mariah.
Mengenai tempat tertutup dan kemudahan bagi atlet wanita yang menutup aurat, Ahmad Shabery meminta kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang menunjukkan contoh bagaimana ia harus dilaksanakan.
“Saya kira bolehlah juga Yang Berhormat mencadangkan di negeri-negeri Yang Berhormat sudah kuasai seperti di Selangor, di Kelantan dan sebagainya, membuat sesuatu sebagai contoh di mana ada perbezaannya dengan tempat-tempat yang lain,” katanya.
Mengenai rang undang-undang itu, Ahmad Shabery berkata ia akan membolehkan Perbadanan Stadium Malaysia mengurus, mengendali dan menyelenggara stadium.
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat. Persidangan disambung esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan