Rabu, 13 Oktober 2010

Rang Undang-undang Kerja ditarik balik, bahas tangguh lagi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 yang dijadual dibacakan untuk kali kedua telah ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ia diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan pada sidang Dewan hari ini.

Rang undang-undang itu yang mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja telah dibaca kali pertama pada sesi lalu tetapi tidak dibaca kali kedua.

Dan, ia diharapkan untuk dibaca kali kedua kali ini.

Dipetik Bernama, Menteri Sumber Mansuai Datuk Dr S. Subramaniam ketika dihubungi pemberita berkata, penarikan itu bertujuan membolehkan beberapa perubahan dilakukan serta menambah beberapa pindaan lain tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Beliau turut menafikan penarikan itu mempunyai kaitan dengan piket yang dijangka dianjurkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di tujuh lokasi hari ini bagi membantah cadangan pindaan terhadap beberapa rang undang-undang di bawah kementerian itu.

Dr Subramaniam berkata rang undang-undang itu akan dibentang semula pada persidangan kali ini selepas perubahan dilakukan.

Rang undang-undang itu dibentangkan buat kali pertama pada 8 Julai lepas meliputi gangguan seksual di kalangan pekerja dan majikan, kebajikan pembantu rumah dan lain-lain.

Laporan sebelum ini menyebut pindaan akta itu membolehkan majikan yang gagal mengadakan tatacara bagi mengendalikan aduan gangguan seksual, menyiasat aduan dan menyampaikan laporan siasatan kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja boleh didenda sehingga RM10,000.

Bahagian baru itu bermaksud aduan berkaitan dengan gangguan seksual yang dibuat oleh pekerja terhadap pekerja lain, pekerja terhadap majikan, majikan terhadap majikan lain dan majikan terhadap pekerja.

Jika majikan berpuas hati terhadap siasatan dan terbukti ada gangguan seksual, majikan perlu mengambil tindakan disiplin seperti memecat tanpa notis, menurunkan pangkat atau mengenakan hukuman ringan seperti menggantung tidak lebih daripada dua minggu terhadap pekerja yang membuat gangguan seksual.

Menurut rang undang-undang itu, jika aduan gangguan seksual dibuat secara terus kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja, beliau perlu mendalami aduan tersebut dan mengarahkan majikan untuk menyiasatnya.

Laporan kemudian harus diserahkan kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja dalam tempoh 30 hari daripada tarikh arahan dibuat.

Rang undang-undang itu turut memasukkan seksyen baru yang mengehendaki majikan membayar gaji pembantu rumah terus ke dalam akaun bank pembantu rumah itu, melainkan jika dikecualikan secara bertulis oleh ketua pengarah.

Tiada ulasan: