Rabu, 3 Februari 2010

Perkauman: Pecat, dakwa Nasir di mahkamah

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dalam suatu seminar 1Malaysia di Melaka semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa memecat dan mendakwa Pegawai Khasnya, Datuk Nasir Safar.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar(gambar), Nasir sepatutnya tidak dibiarkan meletak jawatan begitu sahaja untuk memelihara imej Najib, sebaliknya perlu dikenakan tindakan disiplin oleh kerajaan.

"Jadi kita minta, bukan dia (Nasir) yang meletak jawatan, tetapi Perdana Menteri harus ambil tindakan disiplin dengan memecat beliau," tegas Mahfuz.

Dengan memecat atau mendakwa Nasir di mahkamah, menurut Mahfuz, membuktikan Najib sebenarnya tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mengamalkan cauvenisme ekstrem yang akhirnya mencacatkan gagasan 1Malaysia.

Beliau yang Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan kenyataan Nasir yang dianggap seolah-oleh mewakili pemikiran Najib sendiri.

"Saya ada membaca kenyataan Datuk Nasir bahawa beliau tidak berniat menghina mana-mana kaum dan (beliau) menafikan bahawa kenyataannya itu bukan mencerminkan pemikiran Najib sendiri.

"Yang nak saya bangkitkan, takkanlah Najib melantik seorang pegawai khas yang tidak mempunyai cara pemikiran sepertinya atau Najib sendiri sebenarnya tidak menghayati 1Malaysia yang beliau sendiri perkenalkannya," soalnya.

Tambahnya lagi, sama ada kenyataan Nasir (gambar kiri) itu mencerminkan pemikiran Najib atau sebaliknya, rakyat mungkin menganggap 1Malaysia yang dibawa oleh Najib seolah-olah seperti '1Puaka'.

"Tak kiralah ia (kenyataan Nasir) adalah pemikiran Najib atau tak, saya melihat bahawa 1Malaysia Najib seolah-olah dilihat rakyat seperti '1Puaka',” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti vendalisme ke atas gereja-gereja sejak beberapa minggu yang lalu juga disebabkan kenyataan berbaur cauvenisme di kalangan pemimpin-pemimpin Umno seperti Nasir sendiri.

Ditanya tentang cadangan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu supaya Nasir dikenakan Akta Hasutan, Mahfuz berkata, Nasir sepatutnya didakwa secara bebas dan adil di mahkamah sama seperti rakyat yang lain apabila mencetuskan kenyataan yang berunsur provokatif tersebut.

Ketika berucap pada seminar '1Malaysia' di Melaka semalam Nasir dikatakan telah membuat kenyataan berbaur perkauman menyebabkan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Nasir didakwa telah menimbulkan kemarahan hadirin apabila dia melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang dengan menggesa orang India patut kembali ke India dan orang Cina patut kembali ke China.

Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.

Tiada ulasan: