Rabu, 24 Februari 2010

"Kalau saya pun hendak dibuang juga, tidak tinggal apalah Umno ini ..."

DETIKDAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersedia menerima hukuman daripada Umno jika pemimpin-pemimpin parti itu tidak sanggup mendengar kritikan beliau, terutama berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

"Saya serahkan kepada mereka, kalau hendak hukum saya, hukumlah," katanya merujuk kenyataan beberapa pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan pendirian beliau, khususnya dalam isu tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap royalti petroleum .

Menurut Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, Umno kini sudah ketandusan pemimpin, akibat kekalahan ramai pemimpin berwibawa dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 yang lalu.

"Kalau saya pun hendak dibuang juga, tidak tinggal apalah Umno ini," katanya, sambil ketawa dalam wawancara eksklusif bersama sidang pengarah Harakah di kediaman beliau 18 Februari lalu.

Bekas Menteri Kewangan yang hampir mengalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan jawatan Presiden Umno pada April 1987 itu, baru-baru ini dikritik hebat media milik Umno kerana kesediaannya untuk memberi penjelasan terhadap isu royalti petroleum dalam satu perhimpunan besar-besaran di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik merasakan Umno tidak berani untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Ku Li, tokoh karismatik yang dilihat masih besar pengaruhnya meskipun tidak memegang jawatang penting dalam parti berkenaan, selain tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Wengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini walaupun beberapa usaha dibuat untuk mengubah imej kepimpinan Umno dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, namun persepsi rakyat terhadap kerajaan masih lagi negatif.

Keyakinan rakyat terhadap beberapa institusi penting kerajaan terus merosot, dan bagi Ku Li, hal ini merupakan satu perkembangan buruk bagi sesebuah negara. Beliau juga menyentuh soal penghijrahan besar-besaran golongan profesional, termasuk orang Melayu, ke luar negara.

Menurutnya, jika keadaan ini berterusan, ditambah dengan ketirisan dalam banyak aspek politik, ekonomi dan sosial, beliau bimbang Umno-BN bukan saja gagal menguasai semula negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat tetapi juga tidak dapat mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Dalam wawancara tersebut juga Ku Li menegaskan bahawa tiada seorang pun pemimpin Umno yang boleh memesongkan fakta dengan menukar royalti petroleum kepada wang ihsan.

"Mereka tidak boleh tipu saya, tangan inilah yang merangka draf akta petroleum, yang secara jelas memperuntukkan cash payment (bayaran tunai) sebanyak 5 peratus hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri, di mana minyak itu digali," tegas bekas Pengerusi Petronas yang pertama itu.

"Saya memegang amanah Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan negeri-negeri di Pantai Timur turut mendapat nikmat daripada limpahan kekayaan minyak," ujarnya.

Selain menekankan hak Kerajaan Negeri Kelantan untuk mendapat bayaran tunai daripada Petronas, dalam wawancara itu, Ku Li yang juga bekas Presiden Parti Melayu Semangat, 46 menyebut dengan panjang lebar soal integriti tiga Perdana Menteri Malaysia yang awal, persoalan kehakiman yang belum dapat dipulihkan, wabak rasuah yang makin berleluasa, masa depan Ummno yang tidak menentu dan sebagainya.

Tiada ulasan: