Khamis, 25 Februari 2010

Lagi Remaja Sabah Terkandas Di KL

Sumber : Sabahkini (MAIL MATHEW / HJ.WAHAB TIMPAI)

AHLI Parlimen Tenom, Datuk Raimie Unggi diminta menyiasat sendiri dakwaan terdapat belia dari Tenom turut terkandas di Kuala Lumpur.

Isu itu semakin panas di kampung-kampung dan campur tangan kerajaan negeri BN wajar untuk menyelesaikan kerumitan ini.

Masalah ini bukan menuding jari kepada sesiapa tetapi para wakil rakyat seharusnya bertindak pantas setelah isu remaja dari Sabah tersiar di akhbar.

Difahamkan dua orang remaja dari Tenom itu kini hidup mereka itu terumbang ambing di sana hanya tidur di merata tempat dan mencari makan di tempat pembuangan sampah.dan sudah diketahui oleh ibunya; namun dia tidak terdaya membantu membawa balik anaknya kerana dihimpit kemiskinan.

Meskipun masalah ini merupakan peribadi kepada yang terbabit, namun para pemimpin sama ada BN atau Pakatan Rakyat seharusnya membantu mereka itu.

Jangan politikkan isu ini, sama ada mereka yang terkandas itu keluarga masing-masing menjadi penyokong BN atau PR.

Perkara ini pernah berlaku pada tahun 1992, di mana beberapa remaja dari Sabah terkandas di Kuala Lumpur dan mereka hanya tidur di Masjid dan makan roti canai saja.

Secara kebetulan Datuk Kadoh Agundong menginap di Hotel Istana di tingkat 23 didatangi oleh lima orang remaja lelaki meminta bantuan balik ke Sabah.

Ketika itu, Kadoh mengarahkan setiausaha sulitnya, Dzulkiflie Gunsika menguruskan penerbangan kelima-lima orang remaja untuk dihantar balik ke Sabah serta merta.

Masalah ini berulang lagi dan diharap para wakil rakyat menteri-menteri yang bergaji besar itu beramal sedikit membantu orang susah.

PEMUDA UMNO SABAH BANTU BELIA TERKANDAS DI KL

PERGERAKAN Pemuda Umno Sabah bersedia membantu belia-belia yang dikatakan terkandas di Kuala Lumpur sepertimana yang dilaporkan media sebelum ini dengan menawarkan tiket penerbangan balik ke Sabah atau memilih untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih terjamin di sana.

Ekoran laporan media baru-baru ini berhubung isu tersebut, dua pemimpin Pergerakan Pemuda Umno Sabah telah turun padang untuk menemui dan menemubual belia-belia terbabit secara bersemuka di rumah kebajikan AOHOD untuk membuat penyelesaian.

Demikian diberitahu Jamawi Jaafar Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat dan Azman Haji Ruslan, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah ketika memberitahu Sabahkini. net.

Jamawi yang bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan, manakala Azman yang bertugas di Pejabat Perhubungan Umno Sabah telah bergegas ke situ setelah menerima maklumat daripada akhbar tempatan yang melaporkan isu-isu belia yang terkandas masih belum diselesaikan.

“Setelah disiasat secara menyeluruh, kita mendapati mereka (belia-belia) bukanlah terkandas seperti yang dilaporkan tetapi mereka tidak mampu membayar sewa rumah ataupun bilik kerana terlalu mahal kerana tiada pekerjaan yang tetap,” jelas Jamawi.

Tegasnya lagi, mereka tidur di rumah ibadat atau hentian bas di sebelah malam, manakala ketika siang mereka menjalankan kerja-kerja sambilan dan apabila rehat tengah hari mereka menumpang makan di rumah kebajikan AOHOD.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Umno Sabah di bawah teraju kepimpinan Azman, telah menawarkan bantuan tiket kapal terbang balik ke Sabah kepada mereka yang memerlukan.

Di samping itu tegas Azman, mereka juga boleh memilih bantuan lain seperti mahu mendapatkan pekerjaan yang lebih terjamin di KL dengan mempastikan majikan akan menyediakan kemudahan hostel kepada mereka kelak.

Dalam pada itu Jamawi menegaskan bahawa, usaha Pergerakan Pemuda Umno Sabah untuk menubuhkan persatuan juga sedang diusahakan agar ‘database’ yang lengkap bagi belia-belia yang bekerja di Semenanjung dapat disediakan dengan lengkap untuk memudahkan memantau dan membantu kebajikan mereka.

Justeru, Pemuda Umno Sabah akan menyediakan laporan lengkap berkenaan perkara ini dan akan dikemukakan kepada pihak kerajaan agar bantuan dan kemudahan dapat disediakan kepada yg berkenaan.


Tiada ulasan: