SINAR HARIAN ONLINE
KUALA KUBU BHARU – “Saya langsung tidak tahu menahu sehinggalah dimaklumkan teman lelaki jam 8.30 malam, Khamis lalu.”
Demikian cerita Siti Nurhanim Aziz, 25, ibu kepada kanak-kanak malang, Syafia Humairah Sahari, 4, yang mati dengan kesan luka pada muka dan perut dipercayai akibat didera dalam kejadian di Kampung Batu 30, Ulu Yam, empat hari lalu.
Siti Nurhanim yang bekerja sebagai promoter di Cheras berkata, teman lelakinya (suspek) yang bekerja sebagai pemandu teksi sambilan menghantar dia ke tempat kerja Rabu lalu.
“Bagaimanapun, selepas habis kerja pada malam itu, saya tidak pulang ke rumah kerana teman lelaki memberitahu dia tidak dapat datang untuk mengambil saya.
“Disebabkan itu, saya bermalam di rumah seorang rakan sebelum keesokan harinya dimaklumkan teman lelaki melalui telefon, bahawa Syafia (mangsa) terlibat dalam kemalangan kerana jatuh daripada motosikal,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian anak keduanya, semalam.
Menurutnya, dia yang terkejut mendapat berita itu, hanya dimaklumkan bahawa Syafia berada di hospital menerima rawatan dan tidak menyangka anaknya sudah meninggal dunia.
Siti Nurhanim yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, panggilan yang diterima daripada teman lelakinya pada Khamis lalu, adalah panggilan terakhir kerana selepas itu mereka tidak berhubung lagi.
Dia yang enggan ditemu bual lanjut, kemudiannya meminta diri secara sopan untuk beredar pulang bersama keluarganya.
Dalam pada itu, jenazah mangsa yang dituntut keluarganya selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Kuala Kubu Bharu tengah hari semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, Sungai Buloh kira-kira jam 4 petang hari yang sama.
Sementara itu, datuk mangsa, Aziz Shahar, 50-an, berkata, beliau sangat rapat dengan mangsa sejak kecil dan tidak dapat memaafkan perbuatan zalim suspek terhadap cucu kesayangannya yang masih kecil.
“Kehilangan Syafia sangat dirasai tambah lagi, dia (mangsa) budak yang baik, periang selain gemar melukis.
“Saya juga terkilan kerana pernah melihat kesan seolah-olah kakinya dicucuh dengan api rokok, ketika dia pulang ke sini (Kuang) kira-kira dua minggu lalu. Namun jawapan mangsa yang hanya mengatakan dia terjatuh dalam semak menyebabkan saya berdiam diri dan tidak bertanya lebih lanjut,” katanya.
Menurutnya, mangsa sering berulang-alik antara rumahnya dengan rumah teman lelaki ibunya (suspek) di Batu 30, Ulu Yam malah, Aziz mengakui mengenali suspek sejak setahun lalu selepas :diperkenalkan oleh anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan