Ahad, 28 Februari 2010

Buku khas sokong perjuangan A Samad Said dilancar Mac ini - Dinsman

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : "Kita mahu melancarkan sebuah buku esei menjelang Mac depan yang menunjukkan sokongan terhadap sebarang usaha dan kegiatan Datuk A Samad Said sebelum ini," kata Pengerusi Seniman Paksi Rakyat (Paksi) Dinsman.

Beliau berkata demikian dalam suatu pertemuan bersama wakil Exco Kebudayaan Negeri Selangor, Zahariman baru-baru ini.

"Kita akan lancarkan pada 7 Mac depan sebagai meraikan tarikh bersejarah sebagai tanda titik-tolak bermulanya kegiatan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang membantah dasar itu di depan Istana Negara," kata beliau lagi.

Menyentuh pembabitan awal pelancaran buku yang memuatkan 29 esei-esei terpilih itu, Dinsman atau nama sebenarnya Che Shamsudin Othman berkata, buku ini turut memuatkan karangan esei daripada kumpulan Budayawan bertindak.

"Ada golongan yang anti-PPSMI dan mereka juga mahu terlibat, tapi mereka bukan seniman, jadi bagaimanakah mereka mahu terlibat? Sebab itulah, ada saranan supaya ditubuhkan Budayawan Bertindak itu supaya mereka ini bergerak bersama kami," kata beliau lagi.

Dalam prakata buku tersebut, Dinsman, Kassim Muhammad dan Hasni Abas, antara tokoh GMP turut membangkitkan kenangan lalu ketika mula mengadakan gerakan seumpama ini.

"Sewaktu kami dan kawan-kawan seramai 11 orang bertemu di Rumah Pena pada petang Ahad 6 September 2009, menjelang saat berbuka puasa dengan eSastera itu, kami hanya berfikir untuk merancang beberapa aktiviti sebagai menyatakan sokongan kepada komitmen perjuangan yang sedang ditunjukkan oleh A Samad Said.

"Ia adalah lanjutan daripada perjuangan membantah dasar PPSMI yang kemuncaknya 100 ribu rakyat berkumpul di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009, mengiringi Datuk Hassan Ahmad menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.

Bermula peristiwa itu A. Samad Said seperti memulakan satu perjuangan baru," kata mereka lagi.

Sokong A Samad Said yang sudah mula memperlihat komitmen

"Hari demi hari dia (A Samad Said) memperlihat komitmen yang makin menyerlahkan kecintaannya kepada bahasa Melayu dan budaya besar kita. Perjumpaan petang 6 September itu (yang tidak dihadiri Samad Said; dan tiga orang daripadanya budayawan Cina) rupanya tidak terhenti setakat yang dirancang.

"Mereka inginkan lebih daripada itu - suatu gabungan tenaga dan suara secara berterusan bagi menyatakan kehadiran seniman dan cendekiawan dalam arus kehidupan masyarakat Malaysia hari ini," tulisan prakata itu dipetik sebagai berkata.

Tambah mereka, atas syor Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, buat sementara kumpulan mereka dinamakan 'Budayawan Bertindak'.

"Bahawa golongan budayawan (seniman, sasterawan, cendekiawan) tidak sepatutnya berdiam diri membiarkan golongan politikus dan niagawan sahaja menentukan arus pembangunan dan perubahan dalam masyarakat, tetapi budayawan juga perlu bertindak aktif dalam arus kehidupan tersebut.

"Yang pentingnya, kita menyatakan sokongan kepada perjuangan A Samad Said. Kepelbagaian esei-esei ini… memang tidak dirancang dan tidak diduga. Budayawan Bertindak pun masih dalam proses pembentukannya. Belum tahu esoknya bagaimana," kata mereka melalui prakata buku esei yang bakal dilancarkan pada Mac depan itu.

Tiada ulasan: