WALAUPUN kerajaan negeri menolak pemberian wang ehsan tetapi Umno tetap juga akan mengagihkannya. Persiapan untuk melaksanakan itu sedang giat dijalankan. Pengerusi Jawatankuasa Wang Ehsan Kelantan, Awang Adek Hussein pula akan menghantar surat tawaran kepada kerajaan Kelantan untuk melantik dua orang wakil kerajaan dalam jawatankuasa berkenaan.
Saya yakin tawaran itu akan ditolak kerajaan Kelantan sebab MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menegaskan mereka tidak mahu menerima wang ehsan tetapi tetap mahukan wang royalti.
Manakala menurut Awang Adek wang itu akan dapat diagihkan secepat-cepatnya April depan. Beliau memberi jaminan wang itu akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
Pas nampaknya berhati-hati dalam menjawab dan mengulas perkara ini. Pas tidak mahu dianggap rakyat sebagai cuba menghalang kebajikan yang hendak dibuat oleh Umno. Pas juga menyedari rakyat memerlukan wang berkenaan. Cuma kalau boleh Pas ingin sampaikan dengan tangan sendiri kepada rakyat.
Seperti mana Umno berhajat menjadikan wang itu untuk tujuan politik begitu juga dengan Pas ingin menjadikan wang itu sebagai political mileage politiknya.
Masalah pemberian wang ehsan dan tuntutan royalti ini saya lihat tidak ada penyelesaian dalam waktu terdekat ini. Kedua pihak bertarik tali mengenai wang ehsan itu dan masing-masing mendakwa merekalah yang lebih berhak. Undang-undang dan perjanjian nampaknya tidak dijadikan sumber rujukkan lagi.
Dalam pada itu dimasa Umno bersiap sedia untuk mengagihkan wang itu Pas pula sedang menanti dengan penuh minat. Apa yang Pas tunggu ialah mahu melihat bagaimana wang itu diagihkan dan kepada siapa ia disampaikan. Apakah pengagihan itu telus dan menempati sasarannya.
Penyelewengan dalam pengagihannya akan jadi satu masalah kepada Umno dan ia akan dijadikan modal oleh Pas untuk dijual kepada rakyat. Pas akan mendedahkan kepada rakyat bahawa Umno tidak adil dan saksama dalam pemberian wang berkenaan.
Dalam hal ini saya tidak mahu bias kepada mana-mana pihak. Apa yang penting wang hasil bumi perut Kelantan itu akan sampai ke tangan rakyat negeri itu. Umno diharap tidak akan menyeleweng dan khianat dalam pemberian wang ini.
Misalnya perumahan rakyat termiskin, hanya orang miskin tertentu sahaja mendapat peruntukan itu. Bukan itu saja peruntukan sebanyak RM7,000 hanya sampai tidak sampai sampai RM3,000 dengan pemberian tiga keping papan atau zink saja. Itu bentuk penyelewengan yang pernah berlaku dan menggambarkan ketidakjujuran pengagihannya yang dilakukan oleh Umno.
Begitu juga dengan pembahagian baja padi untuk petani miskin. Orang Umno berguni terima baja sampai jadi bukit di bawah rumah kerana tidak kehabisan. Manakala penyokong Pas pula supik baja kosong pun mereka tidak dapat. Terpaksa punggah tahi lembu dan tahi kambing untuk dijadikan baja padi kerana peruntukan baja kerajaan tidak mencukupi.
Hendaknya dalam pembahagian wang ehsan ini tidak akan terjadi seperti pengagihan wang untuk PPRT dan baja itu.
Untuk mengelak ini dan memuaskan hati kepada semua pihak saya cadangkan jawatankuasa wang ehsan adakan akaun terbuka mencatat pemberian wang berkenaan. Akaun ini boleh dipaparkan di papan iklan besar yang diletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu ataupun di setiap daerah. Semua perbelanjaan dan pengagihan dicatat di situ, biar semua orang tenguk dan kelih sendiri. Catat dan tulis semua jumlah dan tarikh pemberiannya.
Sekiranya wang itu dalam bentuk projek, kontraktor yang menerima projek itu hendaklah disenaraikan siapa mereka dan sebut juga nombor lesen kontraktornya. Jangan pakai berikan projek itu ikut suka hati dan pilih kontraktor dari kalangan kroni.
Saya rasa kalau ini dapat disediakan keraguan orang ramai akan berkurangan. Kejujuran dan keikhlasan Umno juga dapat dilihat umum. Kerajaan negeri juga yang kini sedang menanti untuk kritik akan berhati-hati dan tidak akan mengkritik dan menuduh secara sembrono kerana semua perbelanjaan dan penerimaan wang itu ada dicatat di papan akaun gergasi itu. Sebaliknya kalau pengagihan itu dipertikai dan diragui ia akan bakal membawa musibah kepada Umno Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan