Ahad, 28 Februari 2010

Ketawa mampu atasi kanser

SINAR HARIAN ONLINE


PETALING JAYA - Pesakit barah kini digalakkan melakukan terapi ketawa untuk mengurangkan tekanan akibat kesengsaraan menghidapi penyakit itu, kata pakar perubatan Dr Alvin Chong semalam.

Beliau berkat,a beberapa kajian mendapati terapi ketawa mampu mengubati penderitaan pesakit kanser kerana ketawa dapat menghalang pertumbuhan sel kanser dalam badan penghidapnya.

“Bila anda membuat seseorang gembira, ia seperti mekanisme semulajadi di dalam badan. Sistem imun akan meningkat.

“Sekarang ini ada banyak teori mengatakan, sebab mengapa orang tertentu mengidap jenis kanser tertentu kerana sistem imun tubuh mereka yang lemah akibat hidup tertekan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan Jubli Perak Yayasan Cancerlink oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.

Dr Chong, yang juga doktor sukarela di Yayasan Cancerlink berkata, terapi itu dilakukan oleh pakar bidang ketawa dalam usaha memulihkan pesakit kanser.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah menasihatkan pesakit-pesakit kanser agar tabah dalam melawan penyakit itu dengan melibatkan diri dalam kegiatan luar.

Beliau turut berkongsi kisah isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood menjalani kehidupannya selepas didiagnosis penyakit kanser tahap ketiga.

“Sepanjang lima tahun terakhir beliau (Endon) menderita akibat kanser payu dara, beliau menjadi lebih aktif daripada biasa.

“Beliau memutuskan untuk berbuat sesuatu... dia tidak menunjukkan kesakitan yang dirasainya kepada umum sebaliknya berbuat biasa seperti tidak berlaku apa-apa,” katanya.

Allahyarham Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005.

Pada majlis itu, Yayasan Cancerlink menerima sumbangan RM80,008 daripada Yayasan Sime Darby bagi program kesedaran kanser yang dianjurkannya.

Ditubuhkan pada 1986, Yayasan Cancerlink bertujuan memberi sokongan emosi, praktikal dan maklumat kepada pesakit-pesakit kanser serta anggota keluarga dan rakan mereka. - Bernama

Tiada ulasan: