DETIK DAILY
KUALA LUMPUR, — Pemuda PAS mahu sistem pilihan raya kampus khususnya di universiti-universiti awam dirombak bagi mencerminkan keperluan nasional, sekali gus mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.
Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof berkata pihaknya kesal dengan kekecohan dalam pilihan raya kampus di IPTA seluruh negara baru-baru ini, khususnya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Khamis lalu.
Penggunaan sistem e-undi di UM dibantah manakala perjalanan pilihan raya di UKM pula dipertikaikan, berakhir dengan demonstrasi Jumaat lalu.
Katanya, kekecohan dan bantahan yang berlaku tidak lain berpunca dari pengendalian pilihan raya kampus oleh pihak pengurusan universiti yang sejak dari dulu dipertikaikan kewibawaan dan keberkecualiannya.
“Ia adalah akibat sikap pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengambil sikap memihak kepada kumpulan pelajar tertentu hingga menjadikan demokrasi kampus bahan lawak semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Pemuda PAS katanya, sekian lama berpendirian bahawa soal pemilihan kepimpinan mahasiswa seharusnya ditentukan sendiri oleh mereka secara bebas.
“Strategi mengugut dan memaksa mahasiswa untuk hanya mengundi sesuatu kumpulan adalah penghinaan terhadap maruah para mahasiswa selain dari mencabul hak asasi mereka.
“Begitu juga sikap memihak yang amat ketara yang ditunjukkan oleh kebanyakan pentadbir universiti yang menyokong kumpulan Pro-Aspirasi di kampus-kampus hingga hanya kumpulan tersebut diberi ruang yang luas untuk berkempen dan mendekati pelajar dan pada masa yang sama menafikan hak tersebut kepada kumpulan Pro-Mahasiswa,” katanya.
“Bagaimana universiti-universiti di Malaysia ingin mencapai tahap universiti bertaraf dunia jika dalam hal menentukan pemimpin mereka pun mahasiswa diperlakukan seumpama kanak-kanak,” katanya.
Katanya lagi mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya membentuk barisan pelapis kepimpinan negara untuk menang pilihan raya dengan cara mengugut dan menekan lawan.
Oleh yang demikian katanya, Pemuda PAS mendesak semua keputusan pilihan raya kampus yang mahasiswanya mempertikaikan proses perjalanan pilihan raya digantung buat sementara dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan untuk menyiasat segala aduan ketidakadilan dan penipuan yang berlaku.
“Sekiranya jawatankuasa ini mendapati terdapat ketidakadilan dan pencabulan demokrasi dalam pilihan raya kampus tersebut, maka pilihan raya kampus hendaklah diadakan semula di kampus-kampus yang berkenaan,” kata beliau.
Beliau menambah pengendaliaan pilihan raya di kampus tidak diletakkan secara eksklusif pengendaliannya di bawah Unit HEP, tetapi dikendalikan satu suruhanjaya pilihan raya kampus yang dilantik oleh Senat Universiti.
Beliau juga mahu peraturan perjalanan pilihan raya diperkemaskan dan digubal selaras dengan standard universal perjalanan pilhan raya yang adil dan telus.
“Para mahasiswa yang bertanding hendaklah diberi hak sama rata untuk berkempen serta melantik ejen-ejen mereka untuk memantau dan mengikuti dari dekat proses pembuangan undi dan pengiraan undi.
“Proses pengiraan dan penjumlahan undi serta pengumuman keputusan pilihan raya hendaklah diadakan secara terbuka dengan dipantau oleh calon-calon atau ejen-ejen mereka bagi mengelakkan sebrang kemungkinan manipulasi dan penipuan,” katanya.
Sehubungan itu Ahmad Sabki juga mahu para pegawai universiti termasuk pengetua dan pensyarah dilarang sama sekali menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka untuk memaksa para mahasiswa menyokong mana-mana calon yang bertanding.
“Pemantau pilihan raya dari luar seperti dari Suhakam, Mafrel dan Majlis Peguam hendaklah dibenarkan untuk memantau seluruh perjalanan pilihan raya,” katanya.M/I
Tiada ulasan:
Catat Ulasan