Rabu, 3 Februari 2010

Bicara Liwat: Anwar Akan Sepina PM, Isteri

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengsepina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwatnya yang kedua.

“Ya... salah satu perkara pertama peguam saya Karpal Singh akan lakukan ialah memberi sepina kepada perdana menteri dan isteri,” katanya kepada para pemberita di luar mahkamah pada prosiding kesnya petang Selasa.

Bagaimanapun bila ditanya bilakah perdana menteri dan isterinya akan disepina, Anwar berkata, ia akan dilakukan pada permulaan perbicaraan kes ini tetapi yang pasti bukan esok (Rabu).

Anwar mendakwa, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa Najib ada bertemu dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan dua hari sebelum laporan polis ke atasnya dibuat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pendakwaan Datuk Nordin Hassan berkata, lebih 20 orang saksi pendakwaan dijangka akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes perbicaraan sodomi Anwar mulai esok.

Beliau berkata, tidak kurang daripada 26 saksi dijangka memberi keterangan.

Antara lain, katanya, mereka yang akan dipanggil sebagai saksi ialah tiga orang doktor kerajaan, dua pakar kimia, seorang doktor swasta dan lima saksi yang mempunyai kaitan dengan Kondominium Desa Damansara.

Anwar, 63, tidak mengaku bersalah mensodomi bekas pegawai khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sumber-sumber memberitahu The Star, Mohd Saiful sendiri berkemungkinan besar akan turut dipanggil sebagai saksi pada hari pertama perbicaraan.

Tiada ulasan: