Isnin, 25 Januari 2010

RM5000, Hotel Kualiti' hangatkan Pilihanraya UM

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Sempena Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Malaya (UM) yang bermula hari ini, beberapa dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang membabitkan Universiti dilihat menjadi isu utama pertikaman lidah antara dua kumpulan mahasiswa yang bertanding.

Pro Mahasiswa (ProM), iaitu kumpulan yang menguasai Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) sesi lepas mendakwa bahawa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris memberikan RM5000 pada setiap jentera pembangkang, Penggerak Mahasiswa (Gerak) di kesemua 12 Kolej Kediaman Universiti secara salah.

Pengerusi ProM Shafie Hashim mendakwa pemberian dana tersebut demi menggerakkan jentera pembangkang Gerak supaya merampas semula MPMUM.

"Kita ada bukti (berkaitan) penyelewengan Dr. Azarae dan kita sudah pun mendesak beliau menafikannya, tetapi Azarae mengelak sejak ia dibangkitkan," jelasnya."

"Kita dapati duit itu (RM5000) digunakan untuk bayar elaun kepada para pemimpin Gerak, beli baju T untuk (jentera) Gerak...(termasuk) membiayai bengkel jentera (dan) calon di Hotel Kualiti Shah Alam baru-baru ini."

Bercakap pada sidang media yang sama, Pengerusi Gerakan Mahasiswa Membantah Sistem Pengundian Elektronik (Bantah) Mohd Aizat Mohd Saleh turut mempertikai tindak-tanduk Azarae.

"Kalau dana tersebut diberikan untuk kebajikan mahasiswa di kolej, mengapa tidak dia (Azarae) memberikan bersama (RM5000) kepada mahasiswa luar kampus (kerana) mereka juga wajar (dan) layak menerima kebajikan," jelasnya.

Ujarnya lagi, pemberian dana tersebut dianggap melengkapkan lagi konspirasi Azarae sebelum ini, iaitu memperkenalkan sistem e-Undi yang tidak telus.

Beliau yang juga bekas Exco MPMUM meminta Azarae supaya membuat beberapa penafian berhubung dakwaan-dakwaan ProM tersebut.

"Tidak cukup bagi Gerak mendakwa kami (ProM) cuba fitnah TNC (Azarae), sedangkan kami mendedahkan beberapa dokumen berkaitan," jelasnya.

"Tidak cukup bagi Azarae berdiam diri...sampai hari ini, TNC (Azarae) tidak berani menjelaskan sebab musabab pemberian (dana) RM5000 tersebut."

Tidak layan provokasi, fitnah

Dalam perkembangan yang sama, jurucakap Gerak Fahmi Adilah meminta semua pihak supaya tidak melayan kempen provokasi dan fitnah yang dilakukan oleh ProM.

"ProM fitnah isu Universiti, kami tidak ada masa (untuk) melayan fitnah dan kami tidak tidak ada masa (untuk) melayan provokasi," jelasnya.

Beliau juga meminta semua mahasiswa supaya tidak terpengaruh dengan fitnah yang dipaparkan dalam laman web Um-Today, http://um-today.com.

Ditanya tentang isu 'RM5000 dan Hotel Kualiti', beliau menjelaskan bahawa dakwaan-dakwaan tersebut adalah fitnah.

"Saya bukan nak membela TNC (Azarae), tapi semua itu adalah fitnah," jelasnya.

Beliau turut menafikan bahawa Universiti membiayai jentera Gerak demi merampas semula MPMUM.

"Kami (Gerak) tidak dibiayai oleh sesiapa pun...berkaitan siapa membiayai kami (menginap di) Hotel Kualiti, kami tidak boleh beritahu...kami tidak boleh beritahu," jelasnya.

Pun begitu, beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman UM (SPKKUM), iaitu pertubuhan pembangkang anti MPMUM, meminta ProM supaya tidak membangkitkan isu 'RM5000' dan 'Hotel Kualiti' sepanjang musim PRK kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, ProM dan Gerak masing-masing dilihat mempunyai kekuatan yang hampir sama.

Lebih 200 jentera Gerak mengangkat pelbagai kain rentang menentang amalan fitnah dan provokasi yang ditujukan kepada ProM di perkarangan Dewan Penamaan Calon, Audi Kompleks Perdana Siswa (KPS).

Mereka melaungkan 'ProM Pengkhianat Undiversiti', 'Tolak Politik Fitnah' dan 'Tolak Politik Provokasi Um-Today'.

Manakala, lebih 200 jentera ProM pula mengangkat sepanduk 'politik damai' dan mengajak Gerak supaya mendapatkan sendiri maklum balas dari Azarae.

Harakahdaily kemudiannya cuba mendapatkan maklum balas dari Pejabat TNC HEPA, namun seorang pegawai yang enggan namanya diketahui menjelaskan bahawa Azarae sedang sibuk menyelenggara proses Hari Penamaan Calon PRK tersebut.

Tiada ulasan: