Jumaat, 8 Januari 2010

NGO Islam desak polis siasat Herald

Abdul Rahim Sabri



Sebuah persatuan pelajar Islam hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan dibuat terhadap penerbit mingguan Herald berhubung motifnya menggunakan perkataan Allah dalam akhbar Katholik itu.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat aduan itu di balai polis Jalan Dang Wangi selepas ia bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berdemonstrasi berhubung isu 'Allah' itu di Kampung Baru, selepas solat Jumaat.

Naib Presiden PKPIM Abu Kasim Nur Azmi, ketika dihubungi Malaysiakini, mendakwa terdapat unsur niat jahat (mala fide) dalam penggunaan kalimah tersebut di penerbitan tersebut.

Herald mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mahkamah awal tahun lalu. Pada 31 Disember lalu, mahkamah memutuskan media itu berhak menggunakan 'Allah' tetapi keputusan itu mencetuskan kontroversi luar biasa sepanjang minggu ini.

Dalam aduannya, Abu Kasim berkata kebebasan beragama dalam perlembagaan Malaysia juga menyebut bahawa ia mesti dijalankan dalam keadaan aman dan harmoni seperti termaktub pada Perkara 11 (4) yang menyentuh mengenai kebebasan beragama dan Perkara 3, Islam sebagai agama persekutuan.

Bersama setiausaha agung Abim, Muhamad Raimi Abdul Rahim, aduan polis tersebut dibuat kira-kira jam 3.30 petang.

Sebelum itu, lebih kurang 2 petang sekumpulan 50 penyokong dan pemimpin NGO Islam berkumpul kira-kira 20 minit di masjid Kampung Baru untuk membantah penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan itu.

Selain PKPIM dan Abim, NGO lain yang menyokong tujuh tuntutan 'Deklarasi Keharmonian Hubungan Antara Agama' termasuklah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Ikatan Muslimin Siswazah (ISMA) dan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim).

Dalam perhimpunan tersebut, Muhamad Raimi membaca deklarasi tersebut, yang disokong oleh 50 NGO Islam, antara mendesak berharap isu 'Allah' “diselesaikan di luar mahkamah.”

Kes antara Herald dengan KDN kini menunggu proses rayuan selepas mahkamah menangguhkan keputusan awalnya.

Kumpulan NGO itu juga turut mendesak "penganut agama lain tidak mempertikaikan kemuliaan dan keagungan Allah baik dari sudut nama dan sifatnya, kemulilaan Rasulullah dan risalah yang dibawanya".

"Penganut agama lain menghormati segala syiar Islam yang meliputi perlakuan dan ibadah, tempat-tempat suci, pakaian dam juga perlambangan," dokumen itu dipetik.

Dalam ucapannya di situ, Muhamad Raimi berkata pihaknya membuat bantahan tersebut bukan untuk mencabar keputusan mahkamah, sebaliknya “untuk menzahirkan hasrat, sentimen dan kegusaran umat Islam.”

Perhimpunan yang berlangsung dalam perkarangan masjid dikawal kira-kira 20 anggota polis dan diperhatikan kira-kira 100 orang yang selesai menunai solat Jumaat.

Peserta demonstrasi melaungkan slogan "Agama kamu, agama kamu; Agama kami, agama kami", "Hidup Islam" dan “Kami Sayang Kalimah Allah" beberapa kali diselangi dengan laungan takbir.

Mereka juga menayangkan beberapa sepanduk, antaranya, bertulisan "Jangan cabar Islam", dan "Jangan cabar toleransi Islam".

Tiada ulasan: