Selasa, 12 Januari 2010

Mohd. Noor sempat lintas langsung dengan TV3


Mohd. Noor Mat Amin menggunakan tali ketika mendaki ke puncak Gunung Kinabalu untuk kali yang ke-12 dalam cuaca berkabus, semalam.

UTUSAN ONLINE

RANAU - Pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin berkesempatan melakukan lintas langsung bersama TV3 dengan memaklumkan perkembangan terbaru pendakian yang masuk hari ke-12 hari ini.

Lintas langsung dari kaki Gunung Kinabalu itu disiarkan dalam program Malaysia Hari Ini (MHI).

"Lintas langsung MHI selama kira-kira lima minit itu bagi memaklumkan perkembangan terbaru projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 sebelum pendakian ke-12 dimulakan pada 8.30 pagi.

"Dalam pada itu, pendakian hari ini berjaya tiba ke puncak Gunung Kinabalu pukul 3.55 petang dan menamatkan pendakian pukul 9 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Mohd. Noor, 42, memulakan misinya menawan 111 kali puncak gunung itu dalam masa 111 hari yang dijadual berakhir 19 April ini sebelum melakukan pendakian baru di Menara Kuala Lumpur.

Di menara tersebut, beliau juga akan melakukan 111 kali pendakian dari 1 hingga 7 Mei depan dan kejayaan itu akan melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World Book of Records.

Projek itu dinamakan sebagai Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 dengan bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia dengan keseluruhannya mengambil masa lima bulan.

Mohd. Noor berkata, pendakian ke-12 yang diiringi seorang atlet dan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Aidi Samuel, tidak mengalami sebarang masalah pada mulanya.

"Bagaimanapun apabila hampir tiba di puncak, kabus tebal mula melanda dan hujan pula lebat sewaktu turun semula ke kaki gunung," ujarnya.

Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).

Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek yang menelan kos kira-kira RM1.2 juta itu.

Tiada ulasan: