Ahad, 10 Januari 2010

121 NGO kutuk serangan gereja

MALAYSIA KINI


Sebanyak 121 NGO mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan bom api ke atas tiga gereja di Lembah Klang Kelmarin.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 20 hadir di sidang akhbar di Kuala Lumpur petang semalam untuk menyuarakan 'perpaduan' mereka mengutuk serangan ke atas Geraja Metro Tabernacle Church di Desa Melawati, Gereja Assumption dan Life Chapel di Petaling Jaya.

Bercakap mewakili mereka yang hadir, Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front (IRF) menyifatkannya sebagai perbuatan provokatif dan satu keganasan terhadap rumah ibadat.

Katanya, keganasan tersebut bagaimanapun tidak seharusnya dilihat sebagai satu konflik antara masyarat Islam dan Kristian.

Sebaliknya, kata Farouk ianya merupakan satu penghinaan kepada Islam dan semua agama, termasuk Kristian.

Farouk juga merujuk kepada protes oleh pertubuhan Islam membantah keputusan mahkamah membenarkan mingguan Katholik, Herald, menggunakan nama Allah dalam versi Bahasa Malaysia.

"Walaupun kita mendukung kebebasan bersuara, tetapi demonstrasi tidak harus diadakan untuk mengugut orang lain yang berbeza pendapat," tambahnya.

Tindakan seumpama itu, tambahnya, akan menjejaskan imej sebagai sebuah masyarakat yang pelbagai kaum dan budaya.

Sementara itu, pengerusi Pakatan Media Bebas (Wami) Wong Chin Huat pula berkata kenyataan bersama itu disokong oleh lebih 100 NGO dalam tempoh kurang 24 jam selepas gereja-gereja tersebut diserang dengan bom api.

Tiada ulasan: