SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Penerbit dan pengarah, Ahmad Idham Nazri menyifatkan program 'ulama turun padang' untuk tujuan berdakwah di pusat hiburan seperti dicadangkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai tidak wajar dan akan membuatkan lebih ramai orang takut dengan Islam.
“Islam adalah agama suci dan menjadi panduan hidup. Tiada paksaan dalam agama. Tindakan beliau untuk mendekati pusat hiburan dan berdakwah, saya rasa langkah itu boleh memburukkan keadaan.
“Sekiranya mahu berdakwah, lebih baik mulakan dari akar umbi. Maksud saya, mengapa remaja gemar ke pusat hiburan? Perkara ini perlu ditangani dahulu sebelum menerjah pusat hiburan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Ahmad Idham mencadangkan lebih banyak majlis ilmu diadakan untuk generasi muda supaya mereka sedar dan elak daripada tempat yang tidak wajar dikunjungi.
“Saya akui niat beliau baik, iaitu hendak berdakwah kepada remaja dan artis, tetapi cara dan saluran yang digunakan tidak tepat. Cara ini boleh memberikan impak negatif, khususnya terhadap yang bukan Islam. Mereka akan menganggap Islam itu ancaman, sedangkan di zaman Nabi SAW, pendekatannya tidak begini. Pendekatan lebih kepada isi rumah,” katanya.
Penerbit produksi Excellent Pictures Sdn Bhd ini berkata, memang diketahui paling banyak maksiat berlaku di pusat-pusat hiburan, tetapi maksiat tidak boleh dibersihkan sekelip mata.
”Kunjungan ulama ke pusat hiburan bukan penyelesaian kepada masalah ini. Jangan takutkan orang kepada Islam. Islam indah dan jadi pegangan kita. Fikirlah dahulu impaknya sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan