Selasa, 8 Disember 2009

Mufti Selangor tidak sokong hasrat Asri

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid menyifatkan hasrat bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin berdakwah di pusat hiburan tidak bersesuaian dengan matlamat dakwah.

Katanya, sebagai individu yang menyebarkan ajaran Islam, pendakwah seharusnya menjaga maruah dan imej ketika menyampaikan berdakwah agar tidak dipandang serong masyarakat.

“Pendekatan itu macam tidak betul...apa yang saya nampak aktiviti di pusat-pusat hiburan itu akan mencemarkan imej dan pandangan masyarakat terhadap pendakwah.

“Ibarat hendak membersihkan tong najis, pastinya kita akan bersihkan tong itu dari luar, sekiranya kita bersihkan dari dalam tentu kita pun akan terkena najis itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Asri untuk turun padang dan berdakwah di pusat-pusat hiburan, termasuk disko di Selangor dengan bantuan kumpulan dakwah yang dilatihnya sendiri menerusi program dinamakan ‘ulama turun padang’.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada mana-mana pendakwah sekiranya mereka ingin menyampaikan dakwah di pusat hiburan, namun perlu difikirkan sama ada usaha itu mampu memberikan keinsafan kepada pengunjung pusat hiburan atau sebaliknya.

“Kalau itu pilihan untuk menyampaikan dakwah, terpulanglah kepada mereka.

“Bagi saya, untuk menyampaikan dakwah tidak semestinya perlu turun padang dan cemarkan diri sendiri,” katanya.

Selain itu, Mohd Tamyes berkata, penyampaian dakwah Islam dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan dengan berhikmah iaitu tidak menjejaskan maruah pendakwah dan dakwah yang disampaikan dapat diterima dengan baik.

“Apabila kita hendak menyampaikan dakwah, jangan sampai maruah kita sebagai pendakwah terjejas.

“Sebaiknya sampaikan dakwah dari luar. Bawa mereka (pengunjung pusat hiburan) ke kawasan yang lapang dan adakan ceramah untuk beri kesedaran pada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: