UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - ''Saya akan umumkan apabila tiba masanya," kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin ketika dihubungi bagi merungkai teka teki mengenai berita pernikahannya dengan aktres, Zizie Izette.
Bung Moktar berkata, buat masa ini, beliau memilih untuk tidak memberi sebarang komen bagi menjaga hati banyak pihak.
''Saya perlu melindungi ramai orang dan saya tidak mahu menyakiti hati sesiapa," katanya di sini hari ini.
Mengenai khabar angin yang beliau berkahwin dengan Zizie di sebuah hotel lima bintang, Bung Moktar menafikannya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, ketiadaannya di Dewan Rakyat sejak kebelakangan ini termasuk hari terakhir hari ini adalah kerana tugas-tugas yang perlu diselesaikan di kawasannya.
''Saya berada dalam kawasan (Kinabatangan) untuk menyelesaikan beberapa tugas penting. Saya telah pun mendapat kebenaran daripada Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat," katanya.
Bung Moktar yang ternyata gembira sepanjang perbualan di telefon berkata, hidup perlu sentiasa gembira.
''Hari ini semua akhbar membuat berita mengenai saya dan saya faham itu merupakan tugas yang perlu mereka selesaikan. Seperti mereka, saya juga mempunyai tanggungjawab serta tugas yang perlu dilaksanakan," katanya.
Desas-desus berita pernikahan antara Bung Moktar dengan Zizie tersebar sejak akhir- akhir ini dan ia dipaparkan dalam beberapa portal berita tanah air.
Utusan Malaysia dalam laporannya semalam memuatkan pengakuan Zizie, 31, yang dia telah dilamar oleh seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan sedia bergelar isteri.
Bagaimanapun, aktres putih gebu itu enggan mendedahkan identiti lelaki yang dimaksudkan biarpun timbul spekulasi dia sedang hangat bercinta dengan ahli politik berumur 50 tahun itu.
Menurut Zizie, biarlah masyarakat terus berteka-teki dan membuat spekulasi mengenai personaliti kekasihnya itu kerana masih belum bersedia untuk mengumumkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan