UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas dengan merampas kenderaan rakyat asing yang cuba membawa keluar petrol atau diesel melebihi 20 liter dari negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga tidak teragak-agak menarik semula lesen perniagaan pengusaha stesen minyak yang membenarkan rakyat asing membeli bahan api itu melebihi kuantiti dihadkan.
''Dua tindakan tegas ini penting bagi memastikan orang luar tidak memperoleh subsidi petrol dan diesel yang disediakan kerajaan khas bagi membantu rakyat tempatan.
''Ia juga bagi mematahkan usaha penyeludupan minyak dan pembelian luar biasa pada harga subsidi oleh pihak tertentu untuk berjimat atau menjualnya dengan harga tinggi di negara asal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian dan pelancaran produk keluaran koperasi serta pembiayaan kereta nasional di premis Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Yusof Shamsudin dan Yang Dipertua Angkasa, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum.
Ismail Sabri berkata, berkuat kuasa semalam, kerajaan mengeluarkan larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter sehari kepada kenderaan asing di mana-mana stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari setiap pintu sempadan negara.
Larangan itu, katanya, dijangka berterusan sehingga mekanisme baru sistem pengurusan petrol dan diesel untuk rakyat dimulakan Mei tahun depan.
Selain itu, jelasnya, kementerian juga meminta pegawai kastam yang mengawasi pintu sempadan negara supaya memperhebatkan pemantauan ke atas kenderaan asing bagi memastikan mereka membawa keluar petrol atau diesel kurang 20 liter.
Katanya, pengusaha stesen minyak dan rakyat negara ini perlu lebih bertanggungjawab dan tidak 'bersubahat' dengan pembeli dari luar.
''Ini polisi kita dan bukannya kejam tapi ia demi kebaikan rakyat supaya subsidi minyak menjadi hak mutlak mereka,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan