BERNAMA
Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Januari tahun depan sebagai tarikh bagi menilai jumlah ganti rugi yang wajar diterima putera Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra berhubung perintah ingkar terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot serta ibu wanita itu dalam kes fitnah melibatkan tuntutan RM105 juta.
Ketika dihubungi semalam, peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, berkata anak guamnya akan hadir di mahkamah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din pada hari berkenaan bagi mengemukakan bukti tentang kerugian yang beliau alami.
Perbicaraan itu pada mulanya dijadualkan berlangsung hari ini.
Ditanya sama ada Manohara dan emaknya Daisy Fajarina telah gagal mengetepikan perintah itu, Mohd Haaziq berkata mereka tidak mengambil tindakan itu dan tempoh bagi memfailkan permohonan bagi tujuan itu telah berakhir.
Pada 5 Nov, Penolong Kanan Pendaftar Shazali Hidayat Shariff membenarkan Tengku Muhammad Fakhry memperoleh perintah ingkar terhadap dua defendan berkenan setelah mereka gagal melantik peguam bela bagi kes berkenan.
Pada 29 Okt, Shazali memberi tempoh kepada Manohara dan emaknya sehingga 5 Nov untuk melantik peguam baru atau menghadapi risiko perintah ingkar dikenakan terhadap mereka.
Perintah ingkar adalah satu keputusan yang menyebelahi plaintif apabila defendan tidak memberi respons terhadap saman yang difailkan terhadapnya atau gagal menghadirkan diri di mahkamah.
Dalam saman yang difailkan pada 20 Julai, putera Sultan Kelantan itu mendakwa dua wanita berkenaan telah secara palsu dan jahat memfitnah beliau apabila mereka mendakwa pada satu sidang akhbar antara April dan Jun lepas bahawa Manohara telah didera.
Selain saman fitnah itu, Tengku Muhammad Fakhry juga memfailkan dua saman terhadap Manohara di Mahkamah Syariah yang meminta wanita itu kembali hidup bersamanya dan meminta isterinya itu membayar balik kepadanya hampir RM1 juta yang didakwanya dipinjam oleh Manohara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan