Oleh Nazura Ngah, Mohd Anwar Patho Rohman dan Haspaizi Mohd Zain
KUALA LUMPUR: Kenderaan asing tidak akan dibenar membeli petrol dan diesel melebihi 20 liter di kawasan dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara.
Pemilik kenderaan itu juga tidak dibenar melintasi sempadan negara dengan minyak melebihi 20 liter dalam tangki.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perintah terhadap larangan itu akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
“KPDNKK akan mengeluarkan surat arahan mengehadkan penjualan minyak di semua sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Notis mengenainya juga diedarkan kepada kenderaan luar yang memasuki negara di sempadan.
“Saya mendapat laporan banyak penyeludupan dan ketirisan petrol berlaku di sempadan terutama di sempadan Thailand.
“Kita tidak mahu subsidi minyak yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia turut diperoleh orang luar kerana ia tidak adil kepada kerajaan dan rakyat sebagai pembayar cukai," katanya di lobi Parlimen di sini, semalam.
Ismail berkata, penguatkuasaan peraturan itu membendung penyeludupan petrol dan diesel yang kembali rancak selepas penstrukturan semula harga petrol, September tahun lalu.
Katanya, tindakan juga dikenakan terhadap pengusaha stesen minyak yang melanggar arahan itu, selain menempatkan pegawai kementerian di stesen minyak bagi memantau keadaan.
“Saya bagi amaran kepada pengusaha minyak di sempadan supaya tidak menyalahgunakan hak diberikan kepada mereka untuk menanggung orang luar menikmati subsidi,” katanya.
Malaysia adalah negara yang menawarkan harga terendah bagi diesel dan petrol berbanding negara jiran.
Harga diesel di Malaysia ialah RM1.70 seliter berbanding Thailand RM2.76, Singapura RM3.04, Indonesia RM2.58 dan Filipina RM3.99 manakala petrol RON95 di Malaysia RM1.80 seliter, Thailand RM4.01, Singapura RM4.31, Indonesia RM2.26 dan Filipina RM5.45.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan