Oleh Rafidah Mat Ruzki
JAMAL mendukung anaknya, Ahmad Zali Yamani selepas Mahkamah Majistret Shah Alam menangguhkan perbicaraan semalam. |
Mahkamah diberitahu penyanyi pukul, ugut pengadu
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini semalam diberitahu penyanyi popular, Jamal Abdillah didakwa memukul dan mengugut bekas isterinya selepas dia menuduh wanita itu mengadakan hubungan sulit dengan jiran mereka.
Saksi pendakwaan pertama, Cif Inspektor Rokiah Majid, 37, berkata beliau menerima aduan itu daripada bekas isteri Jamal, Fatimatu-zahra Samat, 26, yang turut mendakwa beliau didera Jamal.
"Suspek juga ada pegang penyapu dan cuba serang pengadu. Pengadu lari ke bilik dan pada yang sama bapa pengadu sampai dan menghalang suspek memukul pengadu," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim semalam.
Rokiah memberi keterangan dalam perbicaraan kes Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 48, yang didakwa mengugut bekas isterinya melalui SMS berbunyi 'tunggu dan lihat apa akan terjadi' menggunakan nombor telefon miliknya kepada telefon Fatimatuzahra di No 2, Jalan Pauh 4/2B, Seksyen 4 di sini, jam 7.44 pagi, 30 April 2007.
Jamal didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rokiah berkata, beliau diarahkan membuka satu kertas siasatan untuk kesalahan ugutan jenayah dan menahan Jamal pada 30 April 2007 di Angkasapuri.
Katanya, laporan itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Mardiana Mohammad untuk siasatan.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Jamal, Ahmad Fariz Mohamed, Rokiah bersetuju laporan polis dibuat Fatimatuzahra tidak mengandungi elemen ugutan jenayah.
Sementara itu, Fatimatuzahra ketika memberi keterangan memberitahu Majistret Norkamila Aziz bahawa beliau tidak berhasrat untuk meneruskan kes berkenaan.
"Kalau boleh kes ini ditarik balik atas alasan maruah saya, maruah keluarga dan maruah anak. Saya tidak mahu teruskan kes ini dan akan hantar rayuan untuk tarik balik kes," katanya.
Fatimatuzahra berkata, sebelum ini beliau sudah dua kali membuat representasi tetapi ditolak Pejabat Peguam Negara.
Perbicaraan ditangguhkan sehingga 27 Januari depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan